Sotong Tutok Hidangan Spesial Bulan Ramadan di Sarawak

    1484
    Sotong Tutok Sarawak

    Sotong tutok adalah antara hidangan yang popular, terutamanya pada bulan Ramadan di Sarawak.

    Selain di bazaar Ramadan, ia boleh didapati di gerai atau kedai di tepi jalan. Ia lebih mudah didapati sepanjang bulan Ramadan.

    Sotong tutok ini sebenarnya adalah sotong kering yang diketuk atau ditumbuk.

    Proses penyediaannya tidaklah begitu rumit.

    Biasanya setelah pelanggan memilih saiz sotong kering yang mereka ingini, penjual akan membakar atau memanggang sotong kering itu terlebih dahulu.

    Sotong kering dibakar dengan bara arang (Kredit Foto: Kunyit 7 Lodge)

    Proses memanggang sotong kering dengan bara arang memakan masa beberapa minit. Ia bagi melembutkan lagi isi sotong kering itu.

    Seterusnya, sotong kering yang sudah cukup panas dan lembut itu akan diketuk ataupun ditumbuk bagi memastikan isinya cukup kenyal, tidak liat serta mudah dikunyah ketika dijamu nanti.

    Sotong kering yang telah dibakar kemudiannya akan diketuk menggunakan tukul (Kredit Foto: Kunyit 7 Logde)

    Hidangan sotong tutok ini tidak lengkap tanpa sambal pencicahnya. Resepi sambal pencicah itulah yang akan menentukan betapa sedapnya sotong tutok itu nanti.

    Sotong tutok dimakan bersama sambah pencicah (Kredit Foto: Sotong Tutok Sarawak)

    Selain cara penyediaan tradisi mengetuk menggunakan tukul atau peralatan keras lain, mesin penggelek kini sudah mula digunakan bagi menggantikan tenaga fizikal manusia dalam meleperkan sotong kering.

    Mesin yang digunakan (Kredit Foto: Le Meridien KK)

    Penggunaan mesin penggelek ini sememangnya perlu sekiranya si penjual menerima banyak tempahan, permintaan tinggi, selain untuk tujuan mengkomersialkan produk ini.

    Mesin penggelek dapat membantu pengusaha mempercepatkan proses meleperkan sotong kering dan meningkatkan kuantiti pengeluaran dalam satu-satu masa.

    Dari segi rasanya pula, ia bergantung pada cita rasa tiap individu. Ada yang lebih suka rasa yang di “tutok” guna cara tradisi dan sebaliknya.

    Sotong Tutok dijual pada harga yang amat murah dan bergantung pada saiz sotong.

    Sotong kering yang bersaiz kecil dijual pada harga RM2 dan Rm4. Manakala saiz sederhana dan besar pula dijual pada harga RM6, RM8, RM10 dan sebagainya.

    Comments

    comments