Mee Kampua dan Mee Kolok sememangnya 2 jenis hidangan yang cukup popular di Sarawak.
Bagi komuniti di Semenanjung Malaysia pula, mee kolok adalah lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan mee kampua. Ini kerana mee kolok sama ada yang halal atau tidak adalah lebih mudah didapati di Semenanjung Malaysia kerana diusahakan oleh ramai peniaga.
Disebabkan kedua-dua hidangan mee ini hampir serupa, bahkan, seringkali apabila ditanya oleh sahabat-sahabat, kita pun belum tentu dapat memberitahu perbezaan antara kedua-dua mee ini.
Justeru itu, tulisan kali ini bertujuan untuk berkongsi dengan para sahabat Borneodihati serba sedikit tentang perbezaan antara Mee Kampua dan Mee Kolok.
Jadi bila ditanya nanti, sekurang-kurangnya kita boleh memberi penerangan mudah kepada sahabat-sahabat yang mahu tahu perbezaan antara Mee Kampua dan Mee Kolok.
1. Lokaliti
Mee Kampua adalah makanan istimewa komuniti Foochow. Oleh itu, anda akan mendapati bahawa Mee Kampua akan lebih mudah didapati di sekitar bandar-bandar yang didiami oleh komuniti Foochow seperti Sibu.
Mee Kolok pula adalah hidangan popular dalam kalangan komuniti di Kuching. Ia boleh dijumpai dengan mudah di bandar Kuching. Jadi, bagi bahagian-bahagian yang lebih dekat dengan Kuching, Mee Kolok adalah lebih dikenali daripada Mee Kampua dalam kalangan komuniti setempat.
2. Bahan Asas
Sungguhpun kedua-dua hidangan ini dihasilkan menggunakan bahan asas yang hampir sama seperti mee, minyak, bawang dan perencah lain y namun, tidak seperti mee kolok yang mempunyai taburan daging cincang diatasnya, mee kampua biasanya hanya dihidangkan bersama kepingan daging sahaja.
Apa pun, hari ini, terdapat juga banyak variasi mee kampua dan mee kolok yang telah diubahsuai bagi memenuhi citarasa orang ramai seperti menambahkan udang dan sayur sebagai pada mee tersebut.
3. Tahap Kekeringan Mee
Secara literalnya Mee Kampua atau 干盘面 dalam dialek Foochow merujuk kepada “mee kering”. Jadi, anda akan dapati Mee Kampua sebenarnya adalah lebih kering dan berminyak berbanding dengan Mee Kolok yang agak basah.
Mee Kampua adalah lebih sedap apabila ia dihidangkan dalam keadaan yang lebih kering dan sekiranya anda lebih minat mee sup, anda juga boleh mencuba Mee Kampua Sup.
4. Cara Persembahan Hidangan
Sungguhpun tidak ada catatan nyata yang tertulis mengenai cara persembahan hidangan Mee Kampua atau Mee Kolok, namun, secara umumnya seseorang yang biasa makan Mee Kampua dan Mee Kolok akan dapat membezakan cara persembahan hidangan kedua-dua makanan ini.
Mee Kampua yang lebih kering selalunya akan dihidangkan dalam pinggan, manakala Mee Kolok selalunya dihidangkan dalam mangkuk. Apapun, kriteria ini amat bergantung kepada pengusaha restoran yang menyediakan hidangan tersebut.
5. Jenis Mee yang digunakan juga berbeza
Jenis mee yang digunakan untuk menghasilkan Mee Kampua dan Mee Kolok sebenarnya adalah jauh berbeza dan ini seterusnya juga mempengaruhi rasa kedua-dua hidangan itu.
Perbezaan paling ketara pada mee yang digunakan adalah bentuk mee itu sendiri. Anda akan dapati bahawa bentuk mee pada Mee Kampua adalah lebih lurus, manakala mee yang digunakan menghasilkan Mee Kolok pula adalah lebih kerinting dan lebih halus.
6. Rasa Mee
Walaupun tidak ada fakta nyata tentang bahan-bahan asas yang digunakan bagi menghasilkan kedua-dua jenis mee, namun, tekstur dan rasa serta aroma kedua-dua hidangan ini adalah jauh berbeza sekali.
Bagi yang biasa dan membesar dengan memakan mee kampua sudah tentu akan lebih suka kepada rasa dan aroma mee kampua dan perkara sebaliknya juga berlaku pada pengemar mee kolok. Jadi, rasa yang mana satu lebih sedap sebenarnya adalah bergantung pada citarasa individu sendiri.
7. Perencah Tambahan
Ini juga merupakan salah satu perbezaan utama antara Mee Kampua dan Mee Kolok. Mee Kampua selalunya dihidang atau dimakan bersama dengan sos cili. Manakala Mee Kolok pula kerap kali dihidangkan bersama dengan cili potong.
Tidak kira apa pun perbezaan kedua-dua mee ini, ia tetap menjadi makanan kegemaran anak-anak Sarawak, menjadi hidangan mesti dicuba sekiranya anda berkunjung ke Sarawak.