2 Orang Anak Jati Rungus Jadi Tumpuan di Standard Chartered KL Marathon!

    663

    Standard Chartered KL Marathon (SCKLM) 2016 telah berlangsung dengan jayanya pada 7 Ogos 2016 yang lepas, bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Apa yang menarik dalam acara SCKLM 2016 ini adalah kehadiran 2 pelari yang lengkap dengan pakaian tradisional Rungus yang turut menyertai acara tersebut dari awal hingga tamatnya KL Marathon.

    Kedua-dua anak jati Rungus ini iaitu Fedoh Ompiduk dan Elvon Luttor berasal dari Kg. Timbang Batu, Kudat, Sabah.

    Berikut adalah serba sedikit perkongsian daripada Fedoh Ompiduk, kenapa mereka memilih memakai pakaian tradisional dalam acara tersebut:

    Mungkin cara kami mempromosikan pakaian tradisi bangsa Momogun Rungus agak luar biasa kerana kami sanggup berlari sejauh 42km. Mempromosikan budaya sambil berlari. Menggunakan sepenuhnya kudrat yang Tuhan beri. Berbicara tentang budaya kepada pelari lain dari hati ke hati. Menamatkan larian 42km dalam masa 5 jam 11 minit seakan tidak mencukupi.

    KL Marathon (SCKLM) merupakan acara larian bertaraf antarabangsa yang paling popular di Malaysia dengan jumlah peserta sebanyak 35 ribu orang. Respons yang kami terima amat mengujakan. Kami sempat mempromosikan dareah Kudat dan rumah panjang kepada mereka.

    Mengenai soal keselesaan semasa berlari dengan pakaian tradisi yang lengkap, itu tidak menjadi masalah bagi kami. Bagi kami, tiada istilah tidak sesuai mengenakan pakaian tradisi yang lengkap semasa berlari kerana kami berlari dengan satu matlamat yang nyata.

    Rasa penat dan panas tidak dapat melangkaui semangat Randavi Momogun Rungus yang ada dalam diri. Kami juga amat bertuah lahir dalam keluarga yang mencintai kebudayaan.

    Memiliki pakaian tradisi yang lengkap pasti menyeronokkan. Kami juga yakin hasil tenunan dan kraf tangan bangsa Momogun Rungus punya kualiti yang tinggi selain mempunyai keunikan yang tersendiri.

    Jika anda tidak mahu memakai pakaian tradisi (badu) semasa bersukan kerana takut mengalami kerosakan, itu pilihan anda. Kami memilih untuk berkorban demi menggapai misi kami.

    ‘Badu’, ‘Sigal’ dan aksesori yang kami pakai tidak mengalami kerosakan selepas larian. Kami yakin selepas ini akan ada lebih ramai yang sanggup dan berani untuk memartabatkan budaya tradisi melalui larian.

    Pesanan buat anak muda di luar sana, jangan pernah malu untuk menunjukkan identiti bangsa kita kepada dunia. Tuturkanlah bahasa ibunda kita dengan sebaiknya.

    Peragakanlah pakaian tradisi kita dengan bangga walau di mana pun anda berada kerana tanggungjawab memartabatkan bangsa tidak terletak pada para pemimpin ataupun persatuan semata-mata.

    Saya sendiri telah melalui beberapa fasa untuk memperkenalkan bangsa kita kepada masyarakat luar khususnya di Semenanjung Malaysia.

    Untuk pengetahuan, larian berpakaian lengkap tradisi ini telah saya rancang sejak tahun 2014. Percubaan pertama pada tahun 2015 tidak tercapai kerana SCKLM pada masa itu dibatalkan (masalah jerebu).

    Saat yang paling menyedihkan adalah apabila bangsa Momogun Rungus tidak pernah didengar atau diketahui oleh sahabat-sahabat kita di sini ketika saya mengaku saya anak jati Rungus.

    Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas pujian, dorongan dan kata-kata nasihat daripada kalian. Sesungguhnya usaha kami tidak akan terhenti di sini. Ini adalah permulaan bagi kami untuk pergi lebih jauh dalam mempromosikan bangsa kita.

    Comments

    comments