7 Perkara Menarik Tentang Perkhidmatan Bot Ekspres Sibu – Song – Kapit, Sarawak!

1876

Penduduk yang tinggal di Bahagian Kapit, Sarawak masih bergantung pada pengangkutan air bagi menghubungkan mereka atau membolehkan mereka keluar masuk ke bandar terdekat iaitu Sibu. Jalan darat yang sedang giat dalam pembinaan dijangkakan akan beroperasi dan boleh dinikmati oleh penduduknya menjelang akhir tahun 2017 atau awal tahun 2018 nanti.

Tulisan kali ini, kami ingin berkongsi dengan para sahabat Borneodihati serba sedikit pengalaman dan perkara-perkara menarik ketika menggunakan perkhidmatan bot ekspres dari Sibu ke Kapit. Tulisan ini juga cuba membandingkan secara ringkas pengalamanan menaiki bot ekspres dan bas ekspres. 

1. Pengangkutan air 

Bagi yang ingin mengunjungi Pekan Song, Pekan Kapit dan juga Belaga, pengunjung perlu mengambil perkhidmatan bot ekspres di Terminal Bot Ekspres Sibu.

Perjalanan dari Sibu ke Daerah Song memakan masa selama 2 jam dan dari Daerah Song ke Kapit pula adalah selama 45 minit.

Bot ekspres selalunya akan berlepas tepat pada waktunya, namun penumpang adalah dinasihatkan untuk berada dalam bot ekspres 10minit lebih awal.

Laluan sungai yang dilalui itu nanti adalah Sungai Rejang dan bot eskpres akan “mudik” ke kawasan hulu menuju ke Song dan Kapit.

2. Bot ekspres mempunyai bilik air atau kemudahan tandas

Salah satu kelebihan menaiki bot ekspres adalah ia ada menyediakan kemudahan bilik tandas bagi kegunaan para penumpang.

3. Bot ekspress tidak ada “hentian rehat”

Bot ekspres tidak mempunyai destinasi khas yang berfungsi sebagai “hentian rehat” seperti bas. Lagipun, seperti yang sedia dimaklumkan, bot ekspres ada menyediakan kemudahan bilik tandas bagi kegunaan para penumpang, jadi tidak perlukan “berehat” untuk para penumpang membuang air.

Bagi yang takut kelaparan pula, haruslah membeli makanan dan minuman siap-siap. Bekalan minuman dan makan ringan boleh didapati dengan mudah sekitar terminal. Pun begitu, sebahagian bot ekspres juga ada mengadakan jualan makanan ringan dan minuman dalam bot.

Cumanya, sebilangan kecil bot ekspress akan berhenti di jeti rumah panjang yang terletak di tebing sungai apabila ada penumpang dari kalangan penduduk rumah panjang.

4. Ruang letak bagasi diatas bumbung bot ekspress

Sekiranya ia melibatkan barangan bersaiz besar, ia akan diletakkan diatas bumbung bot ekspres. Biasanya pihak pengendali bot ekspres akan menutupinya dengan kanvas atau alas lain bagi mengelakkan barangan tersebut terkena air hujan sepanjang perjalanan.

Bagi barangan penting penumpang dinasihatkan membawanya bersama-sama di dalam bot ekspress.

5. Kadar kemalangan 

Kadar kemalangan melibatkan bot ekspres sebenarnya adalah rendah. Majoriti kes-kes bot ekspres karam yang berlaku sebelum ini melibatkan muatan penumpang yang berlebihan (ketika musim perayaan).

6. Kapasiti muatan 

Kapasiti muatan penumpang bagi bot ekspres adalah lebih ramai berbanding dengan bas. Setiap bot ekspres mampu mempunyai kapasiti antara 70 – 90 orang penumpang bergantung pada jenis bot ekspres tersebut.

7. Waktu Operasi

Tidak seperti bas ekspres, perkhidmatan bot ekspres Sibu, Song dan Kapit hanya beroperasi sebelah siang sahaja. Faktor ini mengambil kira elemen keselamatan memandangkan pergerakkan di air atau sungai adalah tidak menentu, tidaklah seperti di atas jalan raya.

Tambahan pula pengemudi bot ekspres memerlukan jarak penglihatan yang baik bagi mengelakk berlaku sebarang pelanggaran yang boleh mengakibatkan kerosakkan pada enjin bot ekpres.

Sepanjang sungai Rejang terdapat banyak ranting-ranting kayu, kayu balak dan barang buangan lain, dan pengemudi bot perlu dapat melihat dan mengenalpasti halangan tersebut serta mengelak daripada melanggarnya secara langsung. Justeru itu, waktu operasi bot ekspres diadakan pada waktu pagi dan petang adalah lebih baik dan selamat.

Comments

comments