Gadis dari Kelantan Ini Ceritakan Pengalaman Menuntut di UMS, Kenal Makanan Sabah & Dapat “Mama” Yang Baik

14383

Saya merupakan pelajar Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Batch 2008-2011. Perjalanan saya yang berasal dari Kelantan di UMS bermula sebaik sahaja terima tawaran dari UMS.

Saya dilahirkan di Sabah pada tahun 1987, di Hospital Queen Elizebeth, ibu bapa saya orang Kelantan.

Sewaktu terima tawaran, saya excited kerana ini peluang saya untuk merantau di tempat kelahiran saya. Saya ke Sabah tanpa ditemani sesiapa, sanak sedara pun tiada di Sabah.

Sampai di airport KK, saya terpinga-pinga sebab tidak tahu ke mana nak pergi. Mujur ada kumpulan pelajar UMS yang menyambut di airport dan rupanya sudah disediakan bas untuk ke UMS. Saya merasa lega.

Sampai d UMS, fasi-fasi menempatkan saya di kampung E, Aras 2. Semester pertama di UMS, saya ditempatkan bersama roomate senior tahun 2.

Kami 3 orang sebilik. Kedua-duanya non-muslim. Seorang berasal dari Sarawak dan seorang lagi dari Melaka.

Roomate saya dari Sarawak selalu ingatkan saya untuk solat, dan bangkitkan saya dari tidur bila waktu azan. Dia sangat baik. Malahan dia tidak kekok dengan saya dan sering mengajak saya untuk outing bersama-sama bila hujung minggu.

Saya tinggal dengan mereka untuk tempoh yang tidak lama, sebab saya memilih untuk menyertai unit beruniform PALAPES. Walaupun kemudiannya saya berpindah ke bilik baru di aras 4 KG E, saya turut sebilik dengan roomate non-muslim, Belinda namanya.

Minggu pertama di semester pertama, saya agak bingung dengan cara percakapan orang Sabah. Seminggu masa saya ambil untuk faham apa yang mereka cakap. Lama kelamaan saya mula faham. Saya ambil masa sebulan untuk biasakan diri dengan makanan di sana.

Saya diperkenalkan dengan “buras” dan “ambuyat” ketika berjalan-jalan untuk membeli makanan di sekitar KK plaza. Apa benda itu, saya tak pasti. Tapi ada seorang pakcik ajar saya cara makan ambuyat. Sedap!

Kawan saya perkenalkan saya dengan bambangan. Ia bukan kuinin, bukan juga buah Bachang. Saya pula perkenalkan budu kepada mereka. Seingat saya kawan-kawan saya yang dari Kota Belud pula ajar saya makan “tuhau”. Bau ia sama macam bau hancing tapi bila makan, sedap.

Cerita bulan puasa bagi saya juga sukar mahu dilupakan. Saya dan kawan-kwan yang muslim bangun sahur, hajat nak ke kafe. Sekali bangun anjing di muka pintu, terpaksa kejutkan kawan yang non-muslim untuk halau anjung itu. Tapi lama kelamaan, anjing di Kg E pun sudah faham rutin kami.

Tahun 2009/2010 juga tahun mencabar bagi saya. PTPTN tidak banyak masa itu, kena potong sebab wang pendahuluan sudah digunakan masa awal-awal nak masuk universiti.

Tapi memandangkan saya ada kawan-kawan yang di Sabah, bila mereka balik kampung, mereka bawa bekal. Kami makan sama-sama, langsung tak kisah sudah non muslim atau muslim. Air yang diminum pun kami kongsi secawan. Saya amat berterima kasih dengan jurulatih PALAPES saya yang mendidik kami supaya tidak rasis dan perlu ada semangat berpasukan.

Tahun ketiga di UMS, saya dan coursemate merancang untuk menjalankan aktiviti di Keningau. Kami memilih Kg Tudan Baru, kami diagihkan kepada beberapa buah keluarga angkat di sana.

Semasa kedatangan kami, kami disambut dengan paluan gong-gong yang disangkut pada palang kayu. Tuan rumah sangat gembira bertemu saya. Saya bahasakan dia “mama”.

Sebaik sahaja ditentukan keluarga angkat, saya akan tinggal bersama keluarga “mama”. Dia peluk cium saya, saya sebak sebab saya dah lama tak balik kampung. Saya cuma balik Kelantan setahun sekali, bila menjelang Hari Raya Puasa sahaja baru saya balik.

Kami berada di Tudan Baru untuk beberapa hari.

Hari akhir program tersebut, mama saya menangis, ayah juga. Dia cakap “mama seronok kio di sini” dia cakap macam itu dengan saya. Tapi saya cakap, saya akan datang lagi kalau panjang umur saya.

Dia bekalkan saya dengan wang RM250. Saya menangis, saya tak nak ambil tapi dia minta untuk ambil juga. Saya cakap macam mana saya nak ganti? Dia cakap tak payah ganti, cukup untuk saya tidak lupa dengan mereka bila saya berjaya.

Sampai sekarang, saya masih rindu dengan Keningau walaupun saya tidak tahu bila akan kembali ke Sabah.

Comments

comments