Abang Pernah Marah Allah Tak Buat Abang Macam Ini?

239

” Abang pernah marah Allah tak buat abang macam ni? ”

Soal si kecil sambil tersenyum sengih di depan aku, tak berganjak dari ingin tahu jawapan dari mulut aku.

Otak aku mula berputar ke belakang, mencari jawapan.

” Pernah ke aku marah Allah, jadikan aku keadaan begini (OKU) ? ”

Soalan yang membawa diri sesaat mengenang kembali 20 tahun lebih sejarah hidup aku.

Pernah marah Allah? Tak pernah. Tapi kecewa, banyak kali.

Kecewa sebab kawan sekolah rendah seronok berlari-lari, kejar- kejar, main polis tangkap pencuri, dan aku tegar memerhati.

Kecewa sebab kawan sekolah menengah lain boleh bekerja parttime masa cuti, dan aku di rumah menjadi suri.

Kecewa, sentiasa ada. Itu biasa. Tapi aku tak pernah layan lama perasaan kecewa. Sebab layan kan pun, takkan ke mana.

Dalam aku kecewa, aku masih boleh lagi main sorok-sorok dengan adik beradik di rumah. Itu patut aku bersyukur, sebab adanya mereka sebagai teman.

Dalam aku kecewa, aku masih boleh lagi tolong mak aku menjahit, basuh baju, cuci pinggan dan urut dia tika penat. Itu patut aku bersyukur, sebab adanya kedua orang tua sebagai pendidik.

Banyak perkara aku akan kecewa, ada perkara untuk aku cemburu, tapi saat itu aku akan berpaling ke arah lain, melihat sudut yang aku patut syukuri, yang aku ada, dan tak pernah buat aku kecewa. Situ, ada bahagia.

26 tahun dah usia aku hidup atas dunia ni, 26 tahun juga aku hidup sebagai seorang manusia yang berbadan dewasa dan berkaki bayi. Masih merangkak, tak mampu lagi berjalan sendiri.

Masih merangkak tapi ke universiti juga. Masih merangkak tapi mendaki sampai kem induk Everest juga. Masih merangkak tapi masih mengecapi bahagia, itu paling penting.

Kita cuba dapatkan semua perkara sekalipun, dapat dalam genggaman kita. Kalau tak bahagia, apa guna ?

Jawapan aku, pada adik tu. Allah bagi abang perkara lain, buat apa nak marah ?

Dia senyum manis seolah faham, dalam masa yang sama, aku doa kan moga dia terus diberi kefahaman oleh Allah. Amin.

FB: Azrulkhan Siswa Labah Labah

Comments

comments