Pengalaman Kali Pertama naik helikopter semasa ikut “Khidmat Doktor Terbang” di Belaga, Sarawak

461

FDS (Flying Doctor Service) adalah salah satu daripada perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menawarkan khidmat kesihatan kepada komuniti yang terletak jauh di pedalaman, yang sukar diakses melalui jalan darat atau air.

Pasukan FDS biasanya terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, dan Jururawat Masyarakat.

Salah satu daerah yang terdapat perkhidmatan ini adalah Belaga, Sarawak. Di Belaga, perkhidmatan ini dijalankan lebih kurang 1 minggu setiap bulan. Oleh kerana saya ialah salah seorang Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Belaga (posting KB1M Rejang), jadi, saya wajib untuk melaksanakan tanggungjawab dalam perkhidmatan ini.

Kali pertama saya terbang naik helikopter adalah pada 8 Jun 2015. Perasaannya, ya Allah, sangat teruja tetapi menakutkan dan mendebarkan.

Biasalah, kali pertama naik helikopter, Allah sahaja yang tahu perasaannya. Walaupun agak gementar, hati tetap merasa sangat seronok. I feel awesome!. Hanya Allah yang maha mengetahui perasaan ini. Terasa mahu terbang setiap hari.

Bila kali pertama berada sama paras dengan awan, saya lihat sekeliling, melihat daerah Belaga yang sangat luas, melihat Empangan Bakun yang sangat besar, dengan tasik yang luas seperti laut, melihat hutan belantara yang sangat tebal, SubhanAllah, terasa sangat kerdil diri!.

Sungguh hebat ciptaan yang Maha Esa. Cantiknya Belaga, hutan rimba, sungai-sungai, flora, faunanya sangat terjaga, masyaAllah, tabarakAllah.

Seronok sebenarnya menjalani perkhidmatan FDS kerana dapat melihat budaya kaum-kaum lain di pendalaman. Orang-orang pendalaman pula sangat peramah dan baik hati, terutamanya kaum Kenyah. Tidak percaya? Pergilah ke Belaga dan berkomunikasilah dengan kaum Kenyah, Kayan, Iban  di daerah Belaga. Anda akan melihat, betapa hebatnya budi pekerti mereka.

Comments

comments