Begitulah nasib yang menyebelahi bekas pelajar IKBN Kinarut, Sabah, Azmin B. Abdul Zah, walaupun Sijil Kompeten Penjaga Jentera Elektrik A4 (ST) belum dikeluarkan lagi tetapi beliau telah memperolehi pendapatan RM 12,000 ribu sebulan.
Azmin, 24 tahun, bekerja sebagai penyelia projek dan juruteknik dengan Syarikat Sri Samakayah Sdn Bhd ditemui di pejabat beliau di Alamesra, Kota Kinabalu, Sabah.
Sejak menamatkan latihan kemahiran di IKBN Kinarut Julai lepas dalam bidang Penjaga Jentera Elektrik A4, Azmin nampak lebih matang berbanding dengan dia sebagai seorang pelajar IKBN sebelum ini.
“Saya sudah nampak ini peluang”, kata Azmin ketika ditanya mengapa dia berminat dalam bidang elektrik sebagai kerjaya beliau.
Mengenai kerjaya beliau sekarang, walaupun bekerja dengan syarikat milik bapa saudara, Azmin bercita-cita satu hari nanti beliau mampu memiliki syarikat perniagaan beliau sendiri.
Buat masa sekarang, beliau seronok bekerja dengan syarikat bapa saudaranya kerana apa-apa keperluan yang diperlukan sebagai pekerja mampu dipenuhi oleh pihak syarikat.
Mengenai perancangan masa hadapan pula, Azmin berkata dia bercadang untuk mendapatkan projek elektrik dibawah Sabah Electricity Sdn Bhd untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan bekalan. “Saya tunggu lesen saja kasi jadi ” tambah Azmin dalam bahasa Sabahnya.
Pelajar yang berasal dari kampung Kunak, Sabah memperolehi Sijil Kompeten Penjaga Jentera Elektrik A1 (ST) selama 3 tahun dan menyambung sehingga ke peringkat Diploma Penjaga Jentera Elektrik A4 (ST) di IKBN Kinarut.
“Selama 4 tahun berada di IKBN Kinarut, saya bangga kerana 80% saya berubah selepas keluar dari IKBN” tambah Azmin. Perkara yang paling Azmin ingat semasa di IKBN selain bidang kemahiran ialah disiplin pelajar. Katanya tanpa disiplin seseorang itu susah mahu maju.
Selain itu, Azmin juga teringat bagaimana dia menjadi tukang “punch card” kawan-kawan untuk datang ke Surau IKBN, lepas itu balik ke asrama. Tetapi sekarang beliau mengaku pengetahuan agama beliau semakin kuat selepas keluar dari IKBN.
Pesanan terakhir Azmin kepada pelajar-pelajar IKBN Kinarut ialah “tanpa disiplin susah mahu berjaya ” tambahnya.