Kita mesti pernah dengar cerita dari kawan-kawan, saudara mara atau terbaca kisah rakyat Malaysia yang bermigrasi ke luar negara kan?. Contohnya berpindah ke Australia, New Zealand, Amerika atau ke UK.
Ada yang berpindah ke luar negara untuk bekerja sebab nilai mata wang luar negara yang lebih tinggi. Ada pula yang teringin nak merasa hidup di negara orang, siap pilih negara yang cuacanya sejuk sepanjang masa, tiba musim sejuk boleh pergi main salji.
Tapi tak kurangnya juga warga asing dari negara seperti China, Jepun, United Kingdom, Korea dan Singapura yang tertarik dengan negara kita dan menetap disini menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Untuk pengetahuan para sahabat Borneodihati, program MM2H ini kerajaan Malaysia perkenalkan pada tahun 2002.
Mereka yang nak bersara atau yang berminat tinggal di Malaysia dan memenuhi kriteria akan diberikan visa untuk tinggal di negara ini selama 10 tahun. Sejak tahun 2002, sebanyak 40ribu permohonan daripada pelbagai negara untuk mengikuti program ini.
Kamu mahu tahu tak negeri-negeri yang warga asing ini paling suka? Berikut adalah senarai 5 negeri paling top yang jadi pilihan warga asing yang tinggal di Malaysia:
1. Kuala Lumpur
Sekiranya salah satu sebab rakyat Malaysia yang berpindah ke luar negara adalah kerana nak rasa cuaca sejuk, warga asing pula memilih Malaysia kerana cuaca panasnya!
Tapi jangan pula sangka warga asing ni pilih pusat bandaraya Kuala Lumpur hanya kerana faktor cuaca semata-mata. Takkan nak datang tinggal di Malaysia 10tahun setakat untuk berjemur dibawah sinar matahari kan? Hahaha
Selain cuaca, mereka pilih pusat bandaraya Kuala Lumpur kerana ia mempunyai kemajuan fasiliti dan kemudahan modern yang setanding dengan bandar raya negara maju. Tambahan pula kos sara hidup di bandar raya ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara asal mereka.
Jadi, dengan duit simpanan persaraan yang ada, mereka tetap boleh hidup “mewah” di kota raya ini.
2. Kota Kinabalu, Sabah
Sabah ini banyak tempat-tempat yang cantik seperti Desa Dairy Farm yang punya jolokkan “Little New Zealand”, pulau-pulau yang popular untuk kaki menyelam seperti Pulau Manukan, Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Mabul dan Pulau Sipadan.
Jadi, bagi warga asing yang mencintai alam yang eksotik, tentunya Sabah menjadi destinasi pilihan mereka untuk menjalani kehidupan baru.
3. Pulau Pinang
Popular dengan street food dan hidangan makanan seperti nasi kandar Penang dan char kuey teow Penang, turut mendorong warga asing pesara memilih Pulau Pinang sebagai “Rumah Kedua” mereka.
4. Johor Bahru
Sebahagian besar pesara Singapura yang berpindah ke Malaysia di bawah program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) memilih Johor kerana mereka menyukai jarak dekat antara Johor dengan Singapura. Maklumlah dalam “sekelip mata” mereka boleh “balik kampung” tatkala rindu dengan Singapura.
Selain mudah untuk mereka berulang-alik, Johor turut menyediakan mereka peluang menjalani kehidupan tanpa kos sara hidup yang tinggi berbanding di Singapura.
Umpamanya dengan harga jualan flat HDB di Singapura, pesara warga asing Singapura mampu membeli sebuah rumah teres di Johor Baru. Harga pemilikan kereta pun hampir separuh lebih murah berbanding di Singapura!
5. Melaka
Melaka walaupun bukan senarai pilihan yang paling top, namun masih menjadi pilihan kepada sebahagian kecil warga asing, terutamanya kelebihan dari segi mendapatkan insentif hartanah.
Jadi, bagi yang tak cukup bajet atau nak berjimat cermat dengan duit pencen, maka Melaka adalah pilihan yang baik untuk pesara warga asing ini membeli hartanah untuk persediaan hidup persaraan mereka.