12 Tahun Bertugas di Sarawak, Andai Dapat Diulang Ingin Aku Melangkah Ke Sana Lagi!

Pengalaman Cikgu Muhazir Siti Hotimah mendapatkan penempatan bertugas di Sarawak! Ikuti kisahnya!

7628

12 tahun lepas adalah pertama kali ku jejak kepulauan Borneo. Seramai 466 orang guru dari Semenanjung Malaysia ditempatkan di Sarawak.

Sebelum kami di tempatkan di sekolah masing-masing, kami dikumpulkan terlebih dahulu di Empress Hotel Sepang pada 12 September. Kemudian seawal 4.30pagi menaiki bas ke KLIA.

Pertama kali menjejak dataran KLIA. Allahuakbar. Takjub rasanya. Hati berdebar-debar sebab nak naik kapal terbang. Excited, takut semua ada. Sakai dan jakun pun ada. Maklumlah 20 tahun lebih belum pernah naik kapal terbang.

Kemudian kami ditempatkan di Santubong, bagi makan dulu makanan di hotel sebelum dihantar ke kawasan-kawasan pedalaman.

Tatkala itu Pengarah Pendidikan Sarawak iaiti Cikgu Adi Badiuzzaman. Perkara pertama yang dibuat oleh beliau adalah dengarkan lagu negeri Sarawak “Ibu Pertiwiku”. Mula-mula dengar romantik juga lagu Negeri Sarawak ini.

Kemudian kami siap dibekalkan lagi dengan beberapa perkataan Melayu Sarawak beserta maknanya supaya kita tau maksudnya.

Jadi, perkataan pertama yang dipelajari adalah “Lawa”.

“Mun orang Malaya lawa ya cantik, mun orang Sarawak lawa ya sombong. Mun anak murid madah kitak lawa jangan senyum ha cikgu” kata-kata Cikgu Adi saat itu.

3 hari kami diperkenalkan dengan daerah-daerah di Sarawak walaupun hanya melaui slaid.

Kata Cikgu Adi, “saya tak minta cikgu jadi orang Sarawak tapi saya mahu cikgu mendalami Sarawak supaya cikgu ikhlas mendidik walaupun ke daerah mana cikgu ditempatkan. Demi anak bangsa Sarawak, kami memerlukan cikgu menabur khidmat di negeri kami. Kami alu-alukan kedatangan cikgu ke negeri kami”, sangat berkesan pesanannnya.

16 september kami dihantar ke daerah-daerah yang sepatutnya kami berkhidmat. Allahuakbar! Mahalnya sebuah pengalaman. Seawal 4.00pagi saya kira kami dihantar ke Lapangan Terbang Antarabngsa Kuching untuk berkhidmat ke segenap pelosok negeri Sarawak. Ada di bandar ada di pedalaman. Kami ibarat sebuah keluarga besar yang dihantar untuk membangunkan pendidikan Sarawak. Besarnya tanggungjawab!

Alhamdulilah aku ditempatkan di bumi pengeluar minyak, SMK Lutong, Miri bersama 15 orang yang lain. Di sini kita timba pengalaman yang pelbagai, pahit manis dunia pendidikan kita tempuh, sebahagian daripada sepak terajang dunia pendidikan kita pelajari di sana.

Namun daerah ini juga mengajar banyak ilmu buat kita. Siapa yang nak bagi pengalaman dikejar anjing jalan kaki ke sekolah? Dari pakai kasut tinggi terus pakai selipar, cepat sikit lari. Siapa nak bagi pengalaman naik bas ramai-ramai ke Parkson dgn pelita tunku kan? Balik-balik ada orang dengar bunyi ayam dalam bas, tiba-tiba keluar kepala ayam dari kotak. Nak gelak takut empunya ayam kecik hati. Siapa nak bagi pengalaman naik van sekolah dgn pelajar-pelajar sekolah kan?

Tapi di daerah itu kita belajar tentang berdikari, kita belajar tentang kehidupan, kita belajar tentang persefahaman, kita belajar tentang persahabatan. Di daerah itu menjadikan kita dewasa. Sungguh!

Andai dapat diulang ingin aku heret kaki melangkah ke daerah itu bersama sahabatku.

12 tahun belum lama sebenarnya, apa pun terima kasih kerana sudi menjadi sahabat dalam suka dan duka. Terima kasih kerana sentiasa memberi dorongan.

Saat ini coretan ini kutulis aku terlalu merindui sahabatku yang sama-sama dikejar anjing, yang sama-sama naik bas. Allah.alfatihah RokiahDaud, tenanglah dikau di sana. Semoga kita dapat bertemu di jannahnya.

Buat sahabat yang lain simpan momen indah ini sampai hujung nyawa.

Comments

comments