15 Orang Pelajar dari Belaga Harungi 18 Jam Perjalanan Demi Sebuah Pendidikan!

1361

Seramai 15 orang pelajar dari pedalaman Belaga, Sarawak telah berjaya mendapatkan tempat bagi melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional Matang Sarawak.

Kesemua pelajar ini yang ditemani oleh ibubapa mereka selamat sampai di Terminal Bas Kuching setelah mereka mengharungi 18 jam perjalanan dari Belaga – Bintulu – Kuching.

Lokaliti daerah Belaga yang terletak jauh dari bandar utama seperti Bintulu dan Kapit sememangnya menjadi cabaran dan halangan bagi komuniti setempat yang mahu keluar atau masuk dari daerah itu ke kawasan bandar.

Selain waktu perjalanan yang panjang iaitu 6 jam ke Bintulu, kos pergi balik dari Belaga ke Bintulu juga boleh mencecah ribuan ringgit. Itu belum lagi ambil kira masa perjalanan dan kos perbelanjaan dari Bintulu ke Kuching.

Kejayaan anak-anak dalam pendidikan juga menjadi berita yang amat mengembirakan bagi ibubapa serta komuniti setempat kerana menerusi pendidikan inilah mereka percaya dapat mengubah nasib keluarga dan komuniti mereka.

Atas sebab yang sama, soal kemajuan pendidikan dan kebajikan komuniti setempat turut dititik beratkan oleh wakil rakyat kawasan iaitu YB Liwan Lagang.

Menyedari cabaran dari segi kos pengangkutan, beliau telah menghulurkan bantuan bagi menyelesai tambang pengangkutan bagi membantu meringankan bebanan kewangan keluarga serta memastikan 15 orang pelajar yang ditemani ibubapa mereka dapat mendaftarkan diri di kolej berkenaan.

Usaha kerjasama turut diadakan dalam kalangan ahli Kelab Belia Belaga Sarawak (KBBS) bagi membantu mengurus dan mengkoordinasikan perjalanan para pelajar dan keluarga mereka.

Comments

comments