Kopi Dicampur Arang, Inilah 7 Hal Menarik Tentang Kopi Joss Yang Cukup Terkenal di Negara Jiran

614

Para penggemar kopi tentu sekali pernah mencuba beraneka jenis kopi yang dijual di pasaran. Namun kopi yang mahu dikongsikan bersama sahabat Borneodihati ini cukup unik sekali, kopi yang dicampur arang! Ya, arang yang sedang “terbakar” dimasukkan ke dalam air kopi yang telah siap dibancuh.

Penyajian kopi arang atau lebih dikenali sebagai Kopi Joss dalam kalangan warga Yogyakarta, Indonesia yang sangat unik itu pantas tersebar dan menarik kunjungan pelbagai lapiran masyarakat, termasuk penggemar kopi dari serata dunia yang mahu merasa kopi arang.

1. Idea kopi bercampur arang

Idea pembikinan kopi arang ini dikatakan muncul buat kali pertama sekitar tahun 1960-an. Idea tersebut diihamkan oleh seorang peniaga warung yang dikenali sebagai Pak Man.

Terdapat dua variasi cerita yang mengisahkan bagaimana Pak Man mendapat idea mencampurkan bara arang ke dalam air kopi.

Pertama, idea tersebut hadir secara tidak sengaja apabila Pak Man memasukkan bara arang ke dalam minuman kopi yang kemudianya berhasil merawat sakit perut yang dialaminya. Melihat kesan positif daripada minuman kopi bercampur arang panas, beliau pun menggunakan “produk” tersebut untuk membezakan kopi nya dengan warung-warung lain. Keunikan kopi arang itulah yang kemudiannya menjadi tarikkan orang ramai mengunjungi warungnya.

Versi kedua, dikatakan bahawa Pak Man sering menerima kunjungan daripada pelanggan yang berasal daripada Jawa Timur dan mereka sering meminta Kopi Klotok. Pak Man dikatakan tidak tahu cara menyediakan kopi yang dipinta oleh pelanggannya itu, jadi beliau sajikan saja kopi yang dicelup dengan arang panas. Sejak dari itu, pelanggan-pelanggannya itu sering memesan “kopi arang” yang dibikin oleh Pak Man, sehinggalah ia semakin dikenali ramai.

2. Nama Kopi Joss

Asal usul istilah “Joss” berasal daripada bunyi yang terhasil saat arang yang masih membara itu dimasukkan dalam gelas berisi air kopi.

“Joss” bunyi yang terhasil saat bara arang dimasukkan dalam air kopi

3. Biji kopi daripada daerah Klaten Yogyakarta

Biji kopi yang digunakan dalam pembikinan kopi arang adalah biji kopi yang terbaik daripada Klaten, Yogyakarta. Biji kopi akan diproses secara tradisional – biji kopi akan ditumbuk sehingga halus oleh penjual kopi dan kaedah tradisional ini dianggap penting agar rasa dan aroma biji kopi tetap terjaga.

4.Teko untuk memasak air

Teko yang dipanaskan guna bara arang [Sumber gambar]
Teko besar yang berisi air akan dipanaskan dibawah bara arang dan ia diyakini akan memberi cita rasa yang berbeza berbanding air yang dimasak menggunakan dapur gas.

5. Proses membancuh kopi arang

Cara pembuatan kopi arang ini tidak banyak bezanya dengan cara biasa kita membancuh kopi – serbuk kopi dan gula dimasukkan ke dalam gelas, kemudian air panas dari teko akan dicurahkan ke dalam gelas.

Apa yang berbeza adalah langkah terakhir, dimana ketulan arang panas akan dimasukkan ke dalam air kopi yang telah siap dibancuh. Ini yang tidak ada dalam air kopi yang biasa kita bancuh. 

Biasanya bara arang akan diketuk-ketuk terlebih dahulu bagi menghilang debu sebelum dicelup ke dalam air kopi. Ketulan arang akan dibiarkan berada dalam gelas itu sekitar 1 minute sebelum dikeluarkan dan hidangan kopi arang pun sedia untuk dinikmati.

6. Arang yang digunakan dalam pembuatan Kopi Joss

Arang yang digunakan dalam penyediaan kopi Joss adalah arang khusus yang dihasilkan daripada kayu kesambi atau sambi.

7. Manfaat arang untuk kesihatan

Kopi yang dimasukkan arang ini didakwa mampu meneutralkan keasidan dan kandungan kafein yang terdapat pada air kopi kerana sebahaginya telah diserap oleh arang.

Comments

comments