Kenali 5 Jenis Durian Hutan Yang Terdapat di Borneo

    Keunikan durian hutan yang terdapat di Sabah dan Sarawak

    9826

    Setibanya bulan Disember tiap tahun, pasar tamu di serata tempat di Sarawak pastinya akan dibanjiri dengan pelbagai jenis buahan-buahan seperti dabai, durian, buah tarap atau buah lumuk, buah bambangan atau mawang, buah rambutan dan sebagainya.

    Sebahagian daripada nama buah-buahan itu mungkin kedengaran agak janggal buat anda, terutamanya rakan-rakan dari Semenanjung. Ini kerana buah-buahan tersebut hanya boleh didapati di Sabah atau Sarawak.

    Sekiranya anda berminat mengenali lebih lanjut jenis buah-buahan Borneo, boleh baca pada petikan berikut: 4 Jenis Buah-Buahan Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah & Sarawak.

    Kali ini, kita akan berkongsi sekurang-kurangnya 5 jenis durian hutan yang terdapat di Sabah / Sarawak.

    Antara fakta umum yang menarik tentang durian-durian hutan ini adalah durian-durian hutan ini tidak menyebabkan panas badan seperti mana anda makan durian biasa.

    Jom kita kenali jenis durian hutan Borneo tersebut:

    1. Durian Isu (Durio Oxleyanus)

    Durian Isu mempunyai permukaan kulit yang hampir serupa dengan durian biasa yang pernah anda makan, cuma dari segi durinya ia lebih panjang dan lebih tirus.

    Dari segi rasanya pula, ia tidaklah seperti aroma durian biasa yang kita selalu makan. Isinya yang berwarna kuning-jingga mempunyai tekstur halus dan isi yang lebih lembut, dan ketika dimakan ia seakan-akan mengeluarkan haruman “gas”.

    Manakala dari segi saiz pula, kadang anda boleh temui saiz lebih kecil dari penumbuk, sehinggalah saiz yang sebesar sebiji bola sepak.

    2. Durian Pakan (Durio Kutejensis)

    Durian Pakan juga dikenali sebagai durian Nyekak oleh penduduk tempatan.

    Dari segi luarannya, durian Pakan mempunyai kulit yang berwarna kuning-jingga dan mempunyai isi durian yang berwarna jingga.

    Duri-duri durian pakan adalah lebih pendek berbanding durian Isu dan permukaan duri pada kulit durian ini adalah lebih lembut.

    Dari segi rasa pula, ia hampir menyerupai durian Isu, cumanya ia tidak mengeluarkan aroma berbau “gas” dan isinya juga adalah lebih manis.

    3. Durian Kulit Merah (Durio Dulcis)

    Selain daripada durian Isu dan durian Pakan, anda juga mungkin pernah terdengar nama durian merah.

    Secara umumnya, durian merah boleh terbahagi kepada beberapa jenis dan yang biasa boleh dijumpai adalah Durian Kulit Merah dan Durian Isi Merah.

    Perbezaan kerala antara durian kulit merah dan durian isi merah adalah

    • Durian Kulit Merah – hanya kulit durian saja berwarna merah, manakala isinya adalah seperti durian biasa.
    • Durian Isi Merah – hanya isi dalam durian itu saja berwarna merah.
    Durian Kulit Merah mempunyai isi berwarna kuning (Kredit Foto : Fit Shortie Eats)

    Durian kulit merah jarang sekali dapat ditemui dijual di pasar-pasar tamu, melainkan ke pergi ke kawasan pedalaman.

    4. Durian Isi Merah (Durio Graveolens)

    Kredit Photo : Adam Lai

    Durian Isi Merah atau Durio Graveolens lebih sinonim dengan negeri Sabah, jadi orang ramai seringkali menyebutnya sebagai durian merah Sabah.

    Kredit Foto : Thanis Lim

    Luaran durian ini hampir menyerupai durian Isu dan durian Pakan, cumanya ia mempunyai isi durian berwarna merah. Lain daripada yang lain.

    5. Durian Kura-Kura (Durio Testudinarium)

    Kredit Foto: Brilio

    Durian Kura-kura adalah sejenis durian hutan yang amat sukar dijumpa, dimana ia berbunga dan berbuah di pangkal pokoknya dan dilaporkan hanya terdapat di Kampung Selanyau, Bekenu Sibuti, Miri.

    Buahnya berwarna kuning pucat dan keperang-perangan dan isinya pula berwarna kuning. Isi durian ini dikatakan kurang manis berbanding dengan durian-durian lain.

    Comments

    comments