7 Destinasi di Kapit Sarawak Yang Wajib Dikunjungi

Inilah tempat-tempat di Kapit yang sungguh memikat!

7257

Kapit adalah sebuah bahagian yang terbesar di Sarawak yang terdiri daripada empat daerah utama iaitu Daerah Kapit, Daerah Belaga, Daerah Song dan Daerah Bukit Mabong (daerah baru di Bahagian Kapit).

Lokaliti keempat-empat daerah ini terpisah agak jauh. Justeru, sebelum bertolak mengunjungi Kapit, pastikan anda tahu tempat atau daerah sebenar yang mahu dikunjungi.

Antara pengangkutan awam yang paling sesuai digunakan untuk kunjungan ke bahagian Kapit adalah jalan sungai menggunakan bot ekspress (laluan bot ekspress iaitu dari Sibu – Song – Kapit – Belaga). Jalan alternatif pula adalah jalan darat yang sedang dalam pembinaan.

Berikut adalah beberapa tempat yang patut dikunjungi andai kata anda mahu merancang trip ke Kapit, Sarawak.

1. Bukit Mabong – Daerah Bukit Mabong 

Bukit Mabong yang menyerupai bentuk gajah (Kredit Foto: Cascd88)

Imej bukit yang merupai bentuk gajah dalam foto ini dinamakan sebagai Bukit Mabong. Bukit ini terletak di sebuah perkampungan terpencil di pedalaman Kapit, Sarawak iaitu perkampungan Sungai Tunoh.

Dari jarak jauh bentuk bukit ini akan kelihatan seperti dua ekor gajah yang sedang baring dan saling membelakang antara satu sama lain.

Bentuk bukit yang menyerupai dua ekor gajah yang saling membelakang (Kredit Foto: Cascd88)

Keunikan yang ada pada Bukit Mabong ini pastinya akan menawarkan pemandangan alam yang cukup memukau bagi setiap pengunjung yang datang ke perkampungan ini.

Selain itu, pengunjung yang datang ke perkampungan ini turut berpeluang menikmati keindahan alamnya yang masih terpelihara dengan baik tanpa pencemaran.

Dari pekan Kapit, pengunjung perlu ambil perkhidmatan van ke Mujong. Perjalanan menggunakan van adalah selama 45 minit.

Kemudian, pengunjung perlu menggunakan khidmat perahu bagi menyeberangi Sg. Balleh.

Dari Sg Balleh, pengunjung akan meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda (Hilux) serta mengharungi perjalanan selama 3 jam sebelum tiba di kampung Sungai Tunoh, Kapit, Sarawak.

Disebab kawasan ini belum mempunyai kemudahan penginapan, sekiranya anda merancang untuk bermalam disitu, adalah lebih baik membuat perancangan awal berbincang dengan penduduk rumah panjang untuk selesaikan masalah penginapan disana nanti.

2. Air Terjun Lusong Laku – Daerah Belaga 

Air terjun Lusong Laku terletak di Lusong Laku, hulu Sungai Linau, Belaga, Kapit, Sarawak dan panoma air terjun ini seakan-akan menyerupai “Niagara Falls”.

Untuk menjejakkan kaki ke lokaliti air terjun ini bukanlah senang. Pengunjung perlu menaiki pacuan empat roda melalui denai balak. Perjalanan daripada Bandar Bintulu ke Lusong Laku memakan masa antara 6 jam hingga 8 jam lamanya, bergantung kepada kondisi jalan dan pemanduan.

Mengambil kira aspek keselamatan dan kelancaran perjalanan, sebaiknya anda mendapatkan khidmat mereka yang berpengalaman atau pernah sampai ke lokasi itu sebagai juru pandu.

3. Replika Teresang & Market Teresang – Kapit

Tiap daerah dan bahagian di Sarawak mempunyai replika yang menjadi simbolik kepada sesebuah kawasan.

Umpama di Sibu, replikanya  adalah angsa, Sarikei terkenal dengan nanas, dan lain-lain daerah dan bahagian ada replika masing-masing.

Sekiranya anda berkunjung ke Kapit, replika yang menjadi simbolik bandar ini ialah Teresang yang tersegam ini ditengah-tengah bandar Kapit atau di Kapit Town Square.

Lebih kurang 200meter dari replika Teresang, adalah tamu Kapit yang dikenali sebagai Market Teresang. Market ini menjadi tumpuan penduduk lokal untuk berjual beli pelbagai jenis produk, sayur, hasil tangkapan sungai, daging haiwan eksotik, hasil kraftangan dan sebagainya. Market Teresang akan dipenuhi dengan orang ramai tiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad).

4. Batu Gong – Daerah Song

Batu Gong mendapat namanya kerana ia seakan-akan bentuk gong. Batu ini terletak di kawasan hulu Katibas, Song dan perjalanan menjejaki batu ini boleh memakan masa selama separuh hari dan perjalanan adalah menggunakan perahu panjang.

Selain itu, terdapat mitos yang dikaitkan dengan kewujudan batu misteri ini. Batu ini dikatakan menjadi tempat tinggal kepada sejenis binatang bunian yang dinamakan sebagai “Remaung”.

Menurut orang lokal, “Remaung” adalah sejenis binatang yang badannya separuh manusia dan singa. Kepala menyerupai singa, manakala badan bahagian bawah menyerupai manusia.

5. Bakun – Daerah Belaga

Kawasan tasik buatan di empangan Bakun juga adalah destinasi yang sentiasa dikunjung oleh orang ramai, terutamanya dalam kalangan kaki pancing.

Selain memancing, anda juga boleh mendapatkan pelbagai bekalan jenis ikan pada harga yang murah.

6. Rumah Panjang Terpanjang 

Uma Belun Leo Dian adalah antara rumah panjang yang terpanjang di Malaysia. Panjang rumah panjang ini dikatakan boleh mencecah 1km panjangnya (data tidak rasmi).

Rumah panjang ini terletak di Sungai Asap, Belaga, Kapit, Sarawak.

Uma Belun Leo Dian, Sungai Asap, Belaga Sarawak merupakan antara rumah panjang yang terpanjang di Malaysia. Cukup suka dengan nyayian lagu iringan video ini yang dinyayikan oleh penduduk setempat. Borneo Dihati kongsikan video ini dengan kebenaran pemilik asal video.

Posted by Borneo Dihati on 23hb Mei 2016

7. Gelanggang Kenyalang, Kapit

Gelanggang Kenyalang adalah sebuah foodcourt yang terletak di sekitar bandar Kapit dan berada dalam jarak jalan kaki yang boleh dijejaki dengan mudah dari Terminal Bot Ekspress Kapit.

Di situ terdapat pelbagai jenis makanan dan sentiasa dipenuhi dengan orang ramai tiap hujung minggu bagi  menikmati sarapan dan makan tengahhari.

Salah satu menu atau hidangan mesti di Gelanggang Kenyalang adalah Roti Canai Goreng.

Ia sememangnya cukup terkenal dalam kalangan penduduk di Kapit dan juga di Sarawak. Roti canai goreng ini sememangnya sedap dan dicicah pula dengan sos pedas manis.

Comments

comments