Semalam cuti umum kerana berkabung sempena kepulangan Ketua Menteri Sarawak kita Allahyarham Tok Nan ke Rahmatullah. Rasa sedih tetap menyelubungi segenap lapisan rakyat. Seakan-akan Sarawak seperti anak yatim kerana kehilangan seorang ayah.
Namun saya mengambil kesempatan cuti ini untuk menghantar barangan derma ke rumah adik Peter Daynial. Saya ke sekolah dan mengambilnya dengan izin warden asrama. Kami bergerak ke Nyelam, Engkeramut.
Sampai di rumah bapa dan datuk Peter tiada kerana keluar berkerja. Setelah meletakkan barangan saya pun ingin segera pulang. Saat mahu memasuki kereta kedengaran suara memanggil. “Cikgu! Cikgu!, singgah rumah kami cikgu” tegur seorang lelaki yang baru turun dari trak pikapnya. Dia bersalaman dengan saya.
Saya serba salah juga kerana ingin mengejar masa. Hari hampir tengahari takut nanti Peter terlepas makan di asrama.
Tapi memandang ini adalah jemputan saya pun menerimanya. Saya masuk ke rumahnya di Rumah panjang James Drew.
Rumah yang memiliki 8 pintu ini tidak seperti rumah panjang tradisi kerana dibina menggunakan konkrit. Ruainya bersih dan berjubin. Rata rata penduduk disini mempunyai kebun sendiri.
Saya dipelawa bersila oleh Encik Rentap yang memgajak saya ke rumah (bilik) nya. Isterinya ke dapur menyiapkan kopi dan biskut untuk dijamu kepada saya dan Peter.
Kami beramah tamah bersembang tentang kehidupan dikawasan Nyelam, berkongsi cerita tentang kelangsungan hidup yang serba mencabar. Bertukar pandangan tentang langkah-langkah mendepani cabaran mendidik anak anak dan generasi muda.
Saya dikelilingi oleh jiran yang sudah berusia emas, dewasa dan anak muda. Bagaikan satu keluarga tiada rasa kekok bila.berada di rumah panjang ini.
Inilah tingginya nilai budi masyarakat Iban yang orang luar harus tahu. Bukan sekadar mendengar kisah dan cerita dari sumber yang tidak tentu kesahihannya. Sebagai orang Malaya yang mencari rezeki di Sarawak ini, saya mengambil peluang untuk menyelami hati budi mereka dengan menerima pelawaan persahabatan.
Bahasa tidak menjadi penghalang kerana saya agak fasih juga berbahasa Iban. Kami dapat duduk bersama sama dan bercerita sambil ketawa dan sesekali menghirup kopi pekat dan menjamah roti kering.
Cukup nostalgik dan ringkas namun jujur dan ikhlas. Orang iban memiliki tahap hormat tetamu yang tinggi. Semua isi rumah (bilik) encik rentap duduk bersama sama dan bersembang dengan saya. Jika dibandar jika tetamu sibapa berkunjung ke rumah mungkin hanya bapa dan ibu sahaja berada dihadapan. Manakala yang lain akan membuat hal sendiri.
Tapi itulah lain budaya lain amalannya dan saya amat bersyukur dapat peluang keemasan ini bersama sama masyarakat iban yang terkenal baik budinya.
Nanti mahu berkunjung ke rumah rakan rakan Bidayuh, Kenyah dan lain-lain lagi untuk saya lihat kepelbagaian budaya di Sarawak ini.