Pengalaman Bekerja di Sarawak: Rakan-rakan Daripada Agama Yang Berbeza Hidup Harmoni & Bertolerasi

4179

Saya berasal dari Kampung Permatang Keramat Yan, Kedah. Sebaik menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di UPM, saya telah mendapatkan penempatan mengajar di di SMK Saribas, Debak, Betong, Sarawak sejak tahun 1996.

Alhamdulillah, sepanjang 21 tahun di Sarawak, saya bercampur dengan masyarakat pelbagai kaum di sini.

Saya mendapat beberapa pengalaman yang sangat menarik berkenaan keharmonian dan toleransi beragama masyarakat di sini.

Ada beberapa peristiwa yang saya dapat kongsikan di sini betapa harmoni dan toleransinya rakan-rakan daripada agama yang berbeza terhadap saya sebagai Melayu Muslim dari Kedah.

Saya masih ingat pada tahun 1996, ketika saya belum ada kenderaan sendiri, seorang rakan Iban beragama Kristian iaitu Tuan Jarit ak Jamrit, menghantar saya ke masjid tiap hari Jumaat sepanjang tempoh latihan mengajar di sebuah sekolah menengah.

Beliau sanggup menunggu di depan pintu pagar masjid dengan motorsikalnya sehingga saya selesai solat Jumaat.

Beliau kini adalah Pengetua di SMK Selirik, Kapit, Sarawak.

Pernah juga beberapa tahun yang lalu, ketika menumpang di rumah seorang kawan Iban Kristian iaitu Tuan Nelson ak Peter di Kota Samarahan (sekarang beliau merupakan Pegawai SISC+ Bahasa Inggeris di PPD Betong), beliau bersusah payah mengemas bilik dan menyediakan ruang solat yang sesuai dikhaskan untuk saya bersolat.

Ada juga peristiwa ketika saya ada urusan rasmi di luar kawasan, ada rakan yang berbeza agama sering bertanya sama ada saya sudah solat atau belum. Beliau ialah Tuan Stanley Emparang James Luta seorang guru di SMK Saribas.

Selain itu, banyak lagi peristiwa menarik yang menggambarkan betapa toleransi masyarakat di sini.

Comments

comments