4 Hal Paling Dirindukan Oleh Anak Sabah & Sarawak Yang Merantau

    1765

    Tidak kira ke mana pun anak Sabah dan Sarawak merantau, pasti akan membuatkan anda rindu akan kampung.

    1. Keluarga: Ibu & Ayah Tanya – Bila Mahu Balik? 

    Kalau sudah merantau ke tempat orang demi mencari rezeki dan berjauhan dengan keluarga, tentu merekalah yang paling dirindui nanti.

    Lebih-lebih lagi kalau sudah beberapa ketika tidak balik kampung, dan saat dalam perbualan di telefon dengan keluarga atau ibu bapa, mereka tanya, bila kamu mahu balik? Tentu membuatkan kamu rindu dengan mereka.

    Terdetik di hati, kalaulah jarak rumah itu dekat, kalaulah boleh pakai kereta atau bas saja balik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, kalaulah ada cuti lebih, kalaulah ada rezeki lebih, memang hari itu juga mahu balik kampung jumpa dengan keluarga.

    Sekiranya kedua orang tua kita sudah berusia, lagi menebal perasaan mahu balik luangkan lebih banyak waktu bersama mereka.

    2. Makanan & Masakan Kampung Paling Menyelerakan

    Berada jauh daripada laman kampung untuk suatu jangka masa yang lama pastinya akan membuatkan anda teramat rindu dengan makanan, masakan dan lauk-lauk kampung yang sudah biasa kamu makan sejak kecil lagi.

    Sejak tahun 2016 boleh dikatakan tidaklah sesukar mana mahu dapatkan barangan makan atau masakan style Sabah dan Sarawak di Semenanjung dengan adanya pembukaan  restoran, foodtruck yang menjual menu Borneo atau pasar serta bazaar Borneo yang ada disana. Bolehlah mengubati rasa rindu masakan kampung.

    Antara barangan jualan di Pasar Borneo Seri Kembangan, Selangor

    Cuma realitinya, kamu akan tetap rindu juga dengan masakan di laman kampung yang serba sedikit ada perbezaannya baik dari segi rasa, bahan atau rempah ratus yang digunakan dalam masakan.

    Sayap Ayam Madu Sabah

    Tambahan pula ‘mood’ serta rasa rindu yang sudah lama terpedam itu apabila sampai di kampung akan membuatkan kamu lebih punyai selera untuk makan, lauk pauk pun terasa sedap.

    3. Rindu Mahu Cakap Dialek Sabah & Sarawak

    Kalau tempat kamu belajar, bertugas atau bekerja di tempat yang tidak ramai orang Sabah dan Sarawak, sudah tentu tidak akan ada orang yang dapat ikut kamu bercakap dalam dialek atau bahasa Sabah atau Sarawak.

    Tambahan pula kalau anda masih baru lagi berada di Semenanjung, tentu teringin sangat nak cari orang yang boleh “berkomunikasi” dan faham dialek yang selalu dituturkan seharian di kampung suatu ketika dulu.

    4. Suasana Kampung Yang Mendamaikan

    Suasana di kampung itu memang mendamaikan dengan persekitaran yang anda familiar, udara yang segar, tidak berlaku kesesakkan lalu lintas yang melampau, perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja pun dekat saja. Jimat masa!

    Tidak kurangnya juga tempat riadah, taman, anak sungai, keindahan alam semulajadi yang sukar ditemui di pusat kotaraya. Jadi, kalau rindukan suasana damai sebegini, carilah peluang balik ke kampung, baik untuk tujuan bercuti atau berehat, sambil-sambil itu ada masa yang terluang bersama keluarga.

    Comments

    comments