Village Health Team (VHT) adalah satu perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi masyarakat yang tinggal jauh dari kemudahan kesihatan.
Alhamdulilah diberi peluang untuk menyertai misi ini ke penempatan hulu Kapit sepanjang Sungai Belawai. Misi selama 5 hari memerlukan kami untuk melawat 8 buah rumah panjang dan sebuah sekolah.
Perjalanan kali ini disertai oleh 2 orang pembantu kesihatan awam, seorang penolong pegawai perubatan, seorang jururawat dan saya sebagai pelajar perubatan.
Perjalanan kami bermula pada waktu pagi dengan menaiki perahu panjang. Perjalanan biasanya mengambil masa seawal 2 jam tetapi boleh menjadi lebih lama jika air sungai tengah surut.
Kami singgah sebentar di tebing sungai untuk makan tengahari. Kadang-kadang kalau ada masa yang mencukupi mereka akan mengutip hidupan sungai (siput, ikan, etc) dan pucuk-pucuk di hutan untuk dijadikan lauk. Tapi disebabkan masa singkat, mereka hanya beli makanan dari pekan dan masak disana.
Salah satu cabaran yang perlu dilalui apabila perahu perlu melalui sungai yang cetek. Disitu kami terpaksa turun dan tolak perahu itu sampai air paras paha. Kadang-kadang kami terpaksa menggali dasar sungai disebabkan paras air tersangat la cetek.
Untuk setiap perahu panjang akan ada seorang di belakang mengemudikan enjin dan yang di depan sekali sebagai penunjuk arah. Dalam perahu kami, pembantu kesihatan awam yang menjadi pengemudi bot.
Kami menuju ke penempatan di bahagian hulu dahulu sebelum bergerak ke penempatan di hilir. Aktiviti kami bermula pada malamnya di rumah panjang.
Perkhidmatan VHT ini melibatkan pesakit luar (OPD) dan ibu dan anak (MCH). Untuk OPD, biasanya akan buat seakan sesi klinik dimana setiap penduduk kampung yang mempunyai masalah kesihatan akan dikesan apa masalahnya atau follow up dan diberikan ubat. Jika teruk, perlu dirujuk ke Hospital Kapit.
Begitu juga MCH dimana nurse akan follow up ibu-ibu mengandung atau yang dah lepas bersalin.
Untuk sesi pertama, saya hanya memerhati dan membiasakan diri sahaja.
Rumah panjang di kawasan ini mempunyai generator untuk bekalan elektrik mereka dan biasanya akan dibuka dari jam 6pm – 11pm atau sebelum tidur. Mungkin sebab tidak biasa tetapi tidur kami memang dalam keadaan berpeluh-peluh ditambah dengan keadaan yang panas di waktu malam tapi semua itu ditahan sahaja. Insyallah kalau niat kita betul, semua cabaran dapat dilalui dengan tenang.
Keesokan pagi, kami bergerak ke sekolah di depan rumah panjang untuk school health program. Program ni melibatkan pemeriksaan kesihatan kepada pelajar-pelajar sekolah serta pemberian vaksin.
Diantara kes yang kami jumpa adalah pelajar yang mempunyai penglihatan terbatas selain beberapa kes kutu. Kes seperti ini akan dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan selanjutnya.
Petangnya itu kami bergerak ke penempatan seterusnya, 4 rumah panjang di lokaliti yang sama. Perjalanan melalui bukit lebih kurang 30 minit jalan kaki. Kali ini saya bersama dengan bahagian OPD.
Macam-macam kes saya jumpa termasuk kes Psikiatri, Opthalmology, young hypertension (darah tinggi di usia muda). Terdetik di fikiran bagaimana jika tiba-tiba berlaku kes kecemasan di kawasan hulu macam ini.
Perhubungan masyarakat hulu sini untuk ke Hospital Kapit hanyalah melalui perahu panjang, itupun hanya boleh digunakan sebelum waktu malam. Belum kira faktor cuaca dan keadaan sungai lagi.
Masyarakat disini agak kurang pandai berkelaka (baca: berbahasa) Melayu atau Inggeris jadi pada awalnya agak susah juga nak berkomunikasi. Dalam masa 2-3 hari tu lah saya belajar bahasa Iban dengan bantuan abang MA, PKA dan kakak nurse.
Mula-mula tergeliat juga lidah tapi bila dah selalu bercakap dengan masyarakat sini, dapatlah biasakan diri dengan bahasa Iban.
Setelah habiskan kawasan di hulu, baru kami bergerak ke hilir menghabiskan 3-4 buah rumah panjang lagi.
Saya masuk ke rumah panjang seterusnya dengan seluar baju basah sebab terjatuh sungai masa nak tarik perahu.
Penerimaan masyarakat disini terhadap saya amat baik. Walaupun ada yang nakal kacau saya tapi mereka tetap menghormati pegangan saya sebagai orang Islam. Kami mampu duduk bersama dan berbual panjang (walaupun mulanya saya tak faham apa yang mereka bualkan, hanya mampu senyum angguk dan gelak bila org lain gelak).
Mereka disini amatlah memuliakan tetamu dengan memastikan kami dapat tempat tidur yang selesa. Disini menjadi adat untuk berkumpul di ruai rumah dan meminum tuak. Tetapi kerana mereka faham yang saya tidak boleh minum alkohol, mereka tetap sediakan kopi atau teh untuk saya agar dapat bersama-ramah beramah mesra dengan mereka.
Dari segi makan, mereka akan memasak ikan atau telur untuk saya jadi saya tidaklah ada masalah dari segi makanan. Tempat yang saya lawati ini tidak lah cukup hulu lagi sebab kalau nak merasa yang lagi hulu kena menaiki helikopter/FDS (Flying Doctor Service) dimana agak susah untuk sampai ke sana melalui jalan sungai.
Kebanyakkan daripada mereka pun sudah mempunyai kesedaran tentang penjagaan kesihatan. Sebab itulah apabila kami datang, mereka menyambut kami dengan tangan terbuka.
Antara 3 minggu aktiviti di Kapit, VHT merupakan aktiviti yang paling menyeronokkan (bagi mereka yang suka adventure dan explore). Pelbagai benda baru dan pengalaman saya dapat. Insyallah kalau diberi kesempatan, akan kami turun lagi untuk berkongsi ilmu dengan penduduk di sini.