Pernah Lalui Pelbagai Kepayahan Zaman Sekolah, Hari Ini Anak Muda Ini Telah Berjaya dan Bergelar Pendidik

684

Salam Jumaat, salam penghulu segala hari.

Terdetik dalam hati saya untuk bercerita pengalaman saya sebagai anak kampung yang lahir di pedalaman dan menghadapi segala dugaan dan cubaan sewaktu di bangku sekolah dulu.

Saya perkenalkan diri saya. Nama saya Resa anak Billie, anak kedua daripada 5 adik beradik.

Saya dilahirkan di Limbang tetapi membesar di sebuah rumah panjang yg diberi nama Rh. Baling, Penurin Betong! Sekarang Tuai Rumah dah bertukar dah, jadi sekarang kampung saya dipegang oleh Tuai Rumah Sibat, Penurin Betong.

Zaman sekolah rendah saya bermula pada tahun 1988. Ayah menghantar saya ke Sekolah Rendah Kerajaan Saka, Betong. Masa itu disebut SRK.

Bermula dari tarikh itu, ia adalah titik tolak bermulanya era saya belajar untuk hidup berdikari kerana ayah menghantar saya bersama abang saya bermalam di asrama sementelah sekolah agak jauh dari rumah.

Masa itu mana ada pengangkutan seperti sekarang, jalan raya pun bukannya berturap! Ooooo lupa nak cakap, ayah saya kerja biasa saja, bahasa mudahnya, kalau kat kampung, orang sebut kerja kontrak atau Kuli.

Mak pulak seperti kebanyakan perempuan lain di kampung, bercucuk tanam, menoreh getah atau mana-mana kerja hutan yg boleh menghasilkan rezeki baik dalam bentuk makanan ataupun wang ringgit.

Saya boleh simpulkan, keluarga saya bukannya golongan pertengahan, jauh lagi golongan atasan, yang pasti keluarga yang agak susah.

Cuma saya kagum, dalam susah-susah hidup, mak ayah tidak pernah menyusahkan orang lain. Mereka ada usaha untuk memajukan anak mereka berdasarkan inisiatif mereka sendiri! Itu tentang catatan ringkas keluarga saya.

Jadi, saya cerita pula segala kedaifan, segala kepayahan dan segala halangan yang saya hadapi sewaktu zaman sekolah saya.

Saya hanya menggunakan kasut sekolah sewaktu berada di dalam darjah 6! Bila sebut pasal kasut, kekadang saya senyum bila mengenangkannya.

Ayah belikan saya kasut bukannya kasut kain, tapi kasut getah. Orang dulu-dulu sebut “adidas payak @ adidas kampung”! Kasut yang ada 4 stripes tu. Alasan ayah, supaya tak basah! Logik jugak!

Apa yang sedihnya, sewaktu Tun Dr Mahathir (masa tu Perdana Menteri) datang untuk merasmikan Sekolah Menengah Vokasional Betong, sekarang ini Teknik, tak silap saya masa itu saya darjah 4 @ 5, saya dihalang untuk mengikut rombongan bersama atas alasan tak ada kasut!

Saya masih ingat kata-kata cikgu saya masa itu, “Resa nuan enda ibuh enggau, nuan nadai kasut! Ditu aja kita!” (Resa, kamu tidak perlu ikut, kamu tidak ada kasut).

Saya tunduk saja, sedangkan masa itu, walaupun masih sekolah rendah, saya adalah antara org yg mengagumi Tun! Malah sampai sekarang pun saya masih mengagumi ketokohan beliau!

Zaman saya, ayah cuma bagi sepasang sahaja pakaian sekolah. Biasanya hanya bercuci selepas 5 hari, maksudnya hanya pada hari Jumaat pakain tersebut dicuci. Alasan mudah, takut basah.

Pernah juga guna seluar sekolah yang basah, sehingga sehari-hari saya cirit-birit. Orang Iban menyebut, PABU SENAMPUN! Saya tak salahkan ayah, saya faham keadaan keluarga saya! Saya diajar menerima seadanya! Redha!

Saya masih ingat, masa sekolah rendah dulu, mak cuma bagi saya duit sebanyak RM1.00 sahaja untuk belanja 2 minggu. Lazimnya, pada hari Ahad minggu pertama, duit itu pasti habis kerana duit itulah kami gunakan untuk membeli keropok di rumah panjang yang berdekatan.

Masuk minggu kedua, jika ada apek yang datang bawak aiskrim, abang pasti bawa saya main jauh-jauh. 

Banyak lagi sebenarnya yg nak saya kongsikan, eloklah rasanya saya ringkaskan begini. Entah kenapa, sejak daripada itu, saya terus menanamkan tekad, saya perlu melakukan sesuatu. Saya tak boleh hidup macam ini!

Setelah saya berfikir, saya hanya ada satu solution sahaja, hanya dengan berjaya dalam pelajaran, sekurang-kurangnya saya dapat mengubah taraf hidup saya!

Saya menapak, bermula dengan PMR (1996), SPM (1998), STPM (1999-2000), Universiti (2001-2004) dan Maktab (2006)! Dan sekarang, sudah 10 tahun saya menabur bakti menjadi GURU!

Bukan juga nak mendabik dada, sekurang-kurangnya, saya berasa bangga dengan segala usaha yang ada, saya juga anak jati kampung Penurin yang pertama menggenggam segulung ijazah! Sesuatu yg ramai orang kampung sedikit masa dulu ejek kat mak ayah saya dengan berkata, ANGAN-ANGAN MAT JENIN! Dan kini, semakin ramai anak kampung saya turut mengikuti jejak langkah saya. Satu kepuasan!

Lupa nak cerita pasal mak ayah, saya bangga kerana memiliki ibu bapa seperti mereka! Tanpa bersekolah secara total, anak mereka semua bekerja tetap, orang Sarawak nyebut, kerja perentah! Dan seperti lazimnya, mak ayah tetap merendah diri! Terima kasih mak, terima kasih ayah!

Kata-kata akhir daripada saya, jika anda dilahirkan susah, itu mungkin takdir anda! Tetapi jika anda mewariskan kesusahan anda kepada keturunan anda, maka itu adalah kesilapan yang maha hebat pernah anda lakukan.

Bagi sesetengah kes, kita diajar percaya kepada takdir, tapi takdir tetap takdir jika kita selamanya berpeluk tubuh!

Comments

comments