Tambunan adalah sebuah daerah yang terletak  lebih kurang 80km dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah. Perjalanan menuju ke Tambunan mengambil masa lebih kurang 2 jam dari bandar Penampang.

Perjalanan ke Tambunan adalah sangat mencabar kerana kawasan yang berbukit-bukau tetapi menjanjikan satu pengalaman yang menarik kerana pemandangan alam flora yang cukup indah.

Mengikut cerita dahulu kala, nama Tambunan ini adalah gabungan nama di antara Orang Gombunan (Orang dataran) dan Orang Tamadon, ini adalah kerana kemenangan besar yang mereka perolehi dalam peperangan.

Tugu Pahlawan di Daerah Tambunan

Tambunan juga dikenali sebagai “The Switzerland of the East”, gelaran ini di beri kerana pengalaman yang anda akan alami di Tambunan ini adalah seakan-akan berada di negara tersebut.

Jika anda sedang merancang percutian samada untuk diri sendiri atau bersama keluarga, Tambunan harus berada di senarai tempat percutian anda.

Berikut dikongsikan 10 tempat yang anda harus lawati apabila ke Tambunan:

11. Air Terjun Mahua

Air terjun ini terletak 14km atau 30 minit perjalanan dari Bandar Tambunan. Ketinggian air terjun ini adalah lebih kurang 17 meter dan kedalamannya lebih kurang 1.3 meter.

Tempat ini sangat sesuai untuk membawa keluarga berkelah malah kemudahan berkelah juga disediakan seperti tempat BBQ, tandas dan pondok.

22. Taman Sejadi Rafflesia Tambunan

Taman Sejadi Rafflesia ini terletak lebih di jalan utama antara Kota Kinabalu dan Tambunan, mengambil masa 1.5 jam perjalanan jika anda dari Bandar Kota Kinabalu.

Selain bunga Rafflesia yang menjadi tarikan utama di taman ini, ada pelbagai flora dan fauna yang mungkin jarang anda lihat boleh didapati di sini. Jika anda seorang pemerhati burung, tempat ini merupakan salah satu destinasi yang perlu anda kunjungi.

33. Batu Gong, Kampung Solibog

Pernahkah anda mendengar tentang batu yang mengeluarkan bunyi seperti gong? Inilah salah satu keajaiban yang boleh anda jumpa di Kampung Solibog, Tambunan.

Bunyi yang dihasilkan oleh batu ini adalah sama seperti yang dihasilkan oleh gong tradisional orang Dusun. Tentu sekali ini adalah satu keajaiban bukan?

44. Gunung Wakid

Jika anda seorang yang suka mendaki atau baru mula berjinak dalam aktiviti mendaki gunung, ini merupakan destinasi yang harus berada di dalam senarai gunung yang anda akan daki pada tahun 2017.

Tidak seperti Gunung Kinabalu, Gunung Wakid ini hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk sampai ke puncak.

Selain itu juga, apabila menuruni Gunung Wakid ini anda akan melalui satu air terjun yang sangat menarik iaitu air terjun Kolopis. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Gunung Wakid ini, anda boleh melawati laman sesawang mereka di www.gunungwakid.com.

55. Tambunan Salt Trail

Bagi mereka yang suka akan cabaran dalam aktiviti menjelajah hutan atau ‘Jungle trekking’ , Tambunan Salt Trail ini harus adalah dalam senarai anda.

Perjalanan bermula di Kampung Tikolod, Tambunan dan berakhir di Kampung Inobong, Penampang dan mengambil masa lebih kurang 4 hari. Perjalanan ini pasti akan menyajikan anda dengan keindahan flora dan fauna yang sangat menarik dan sukar didapati dimana-mana selain Borneo.

66. Kampung Tikolod

Kampung Tikolod ini terletak lebih kurang 18km dari Bandar Tambunan. Apa yang menarik di kampung ini adalah mereka adalah pengeluar halia yang terbesar dan juga merupakan pembuat alat muzik traditional seperti sompoton, bungkau, tongkungon dan togunggak.

Para pengunjung boleh melihat dengan sendiri bagaimana alat muzik ini di buat. Tentu sekali anda ingin mengetahui keunikan alat muzik tradisional ini.

77. Kampung Tombotuon dan Kampung Minodung

Dua buah kampung ini merupakan kampung tradisional yang terdapat di Tambunan. Di Kampung Minodung, anda boleh mencuba aktiviti seperti “manahu” iaitu aktiviti memancing di sungai dan di Kampung Tombotuon anda boleh belajar membuat pelbagai kraf tradisional.

88. Tambunan Viewing Point (Sinurambi Tambunan)

Ini merupakan tarikan yang terbaru terdapat di Tambunan dan telah dirasmikan pada December 2016 yang lepas.

Reka bentuk yang sangat menarik iaitu menyerupai sebuah “wakid”, satu kraf tradisional yang digunakan untuk membawa padi.

Jika anda berkunjung ke sini, pastikan anda membawa baju panas kerana kawasan di sini sangat berangin dan sejuk.

99. Sungai Tambunan, sistem “Tagal”

Sistem “Tagal” merupakan satu sistem di mana sumber dari sungai yang di tagal seperti ikan di larang untuk di ambil, sistem ini sangat berkesan untuk memulihkan ekosistem.

Pada setiap tahun, larangan ini akan dikecualikan selama tiga hari dan komuniti yang berada di kawasan sistem tagal ini dibenarkan untuk memancing di kawasan tersebut. Jika ini aktiviti yang anda suka, siapkan kelengkapan pancing anda. Sangat pasti anda akan dapat memancing banyak ikan.

1010. Pasar Tamu Tambunan

“Tamu” or “Temu” adalah serupa seperti pasar pagi / pasar malam. Di Tambunan ada dua pasar yang di buka setiap minggu.

Pada hari Rabu dan Khamis, tamu ini akan di buka di Pisompuruan Square yang berada betul di tengah Pekan Tambunan manakala pada hari minggu tamu ini akan di buka di Kampung Toboh.

Boleh dikatakan di Tamu Tambunan ini adalah seperti pusat membeli belah kerana anda akan dapat menjumpai banyak barang keperluan dari sayur-sayuran hinggalah ke barangan dapur.

Sungguhpun hanya 10 tempat yang disenaraikan dalam artikel ini, sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik boleh anda kunjungi di Tambunan seperti Gunung Alab, Muzium Tambunan, Tambunan Village Recreational Club (TVRC) dan sebagainya.

Comments

comments