Uma Baha Apau Koyan, Belaga, Sarawak mencipta sejarah yang mengamit kenangan apabila seramai 76 orang (hari pertama) dan 101 orang (hari kedua) penduduk kampung kesemuanya lelaki telah bergotong-royong untuk membina perahu lumba – “Alot Petasa”.
Setelah menyimpan angan-angan sekian lama, perancangan telah dibuat oleh JKKK Uma Baha di bawah pimpinan dan naungan YB Kennedy Chukpai Ugon, Pemanca Tony Kulleh, Maren Uma Padan Bisau, Timbalan Maren Uma Egan Ave, barisan JKKK serta seluruh warga Uma Baha, maka tibalah hari dinanti-nantikan pada 1 November 2016 (sesuai dengan angka menarik 1.11.16) penduduk Uma Baha turun bergotong-royong mencari kayu yang sesuai untuk dijadikan perahu lumba “alot petasa”.
Setelah menjumpai sebuah kayu “Adau” (Arau) yang terletak 25kilometer dari rumah panjang Uma Baha terletak di Sungai Belaga, penduduk kampung seramai 76 orang lelaki turun bergotong royong untuk menebang, membelah serta melakukan kerja pertukangan untuk membina dua buah perahu lumba!
Bersusah payah berjalan kaki selama 20 minit ke lokasi pokok kayu Adau tersebut tidak memadam semangat dan kegairahan penduduk kampung khasnya generasi muda untuk melihat sendiri bagaimana cara membina sebuah perahu lumba yang dibina secara tradisional Suku Kaum Kenyah Uma Baha.
Generasi muda berasa bersyukur kerana sempat melihat bagaimana sesebuah perahu dibina melalui tunjuk ajar oleh tukang-tukang perahu yang ratanya sudah berumur seperti Amai Pesudin, Amai Pivong, Amai Pafui dan ramai lagi tukang-tukang kayu yang sudah tua.
Mana tidaknya, setelah hampir 20 tahun berpindah dari kampung lama Long Bulan ke penempatan semula Bakun di Sungai Asap, ramai generasi muda tidak pernah memiliki pengalaman menaiki perahu apatah lagi membinanya.
Kesempatan melihat sendiri bagaimana sebuah perahu dibina adalah umpama sejarah dan pengalaman yang berharga.
Sehari suntuk berkerja sehingga pukul 6:30 petang kerja pertukangan tidak dapat disiapkan untuk membawa keluar kedua-dua perahu tersebut dari hutan ke kampung. Maka semuanya bersetuju untuk menyambung kerja keesokan harinya.
Dua buah perahu lumba “Alot Petasa” Uma Baha berjaya dibentuk dengan panjang masing-masing 7 depa orang dewasa atau 42 kaki/12.8 meter dengan, 13 “gan”/tempat duduk yang boleh memuatkan 15 hingga 20 pengayuh!
“Alot petasa dibina bukan untuk sebuah kemenangan sahaja tetapi sebuah warisan yang perlu dikekalkan serta merapatkan hubungan di antara warga Uma Baha.”