Pengalaman Guru dari Terengganu Mengajar di SMK Bakun, Belaga Sarawak

Kisah & pengalaman anak kelahiran Terengganu, Cikgu Normila bertugas di SMK Bakun, Belaga, Sarawak

2358

SMK Bakun adalah nama sebuah sekolah yang terletak di pedalaman 2 di bawah PPD Belaga, Bahagian Kapit. Itulah nama sekolah yang tertera pada surat tawaran penempatan guru baharu yang diterima pada tarikh 20 Januari 2014.

Tidak pernah saya bayangkan akan ditempatkan di sekolah yang berada di pedalaman Sarawak. Itulah kali pertama saya jejakkan kaki di bumi Borneo.

Terdetik juga rasa kecewa kerana terpaksa meninggalkan keluarga tercinta yang berada di Terengganu, tetapi demi amanah yang diberi, tugas mendidik anak bangsa perlu diteruskan juga walau di mana kita ditempatkan.

Perjalanan ke SMK Bakun bersama 5 orang lagi rakan bermula dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Bintulu. Dari Lapangan Terbang Bintulu, kami dijemput dengan kenderaan pacuan 4 roda.

Dalam suasana hujan kami meneruskan perjalanan selama 3 jam dengan keadaan jalan raya yang berlubang dan tidak rata untuk sampai ke pedalaman Sg. Asap. Terasa sangat asing dengan kawasan di situ. Itulah kali pertama saya dapat melihat rumah panjang di Sarawak secara nyata.

Hari pertama melapor diri di sekolah, kami diberi taklimat mengenai asal-usul sekolah dan latar belakang murid-murid di sekolah tersebut. Puratanya murid-murid di SMK Bakun terdiri daripada suku kaum orang Ulu iaitu Kayan dan Kenyah, Iban, serta Penan.

Dari aspek komunikasi, mengajar kaum-kaum tersebut adalah tidak begitu sukar seperti yang difikirkan kerana mereka fasih berbahasa Melayu.

Adat dan budaya suku kaum di sini yang begitu lemah lembut membuatkan saya kagum kerana mereka sangat menghormati guru terutama guru daripada Semenanjung yang berbeza kaum dan agama.

Kemudahan di sekolah terutamanya bahan dan radas makmal yang tidak lengkap adalah merupakan cabaran yang paling besar bagi saya sebagai seorang guru Sains.

Saya terpaksa memikirkan alternatif lain untuk membolehkan murid menjalankan eksperimen bagi meningkatkan tahap kefahaman mereka berkenaan topik yang diajar.

Saya juga cuba menerapkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat mereka seperti menayangkan video berkaitan Sains dan Teknologi supaya murid lebih berfikiran terbuka melihat dunia luar.

Sangat terharu melihat ketabahan mereka menuntut ilmu dalam serba kekurangan.

Pengalaman yang paling mahal

Walaupun hanya berkhidmat selama 3 tahun 5 bulan di SMK Bakun, namun pengalaman yang dilalui di situ adalah pengalaman yang paling mahal dan tidak dapat dirasai di Semenanjung.

Hidup di pedalaman yang serba kekurangan dengan masalah sukar mendapatkan bekalan air bersih serta masalah bekalan elektrik yang sering terputus. Terpaksa bermalam tanpa lampu dan kipas serta tidak dapat berhubung dengan keluarga sepanjang bekalan elektrik terputus menjadikan saya seorang guru yang tabah dan cekal.

Apabila diminta untuk menghadiri kursus, perjalanan yang memakan masa 2 hari perlu dilalui untuk sampai ke Kapit.

Saya perlu bermalam di Sibu sebelum menaiki bot ekspres ke Kapit yang mengambil masa 2-3 jam perjalanan menyusuri Sungai Rejang sepanjang 130 kilometer. Bot ekpres menjadi pengangkutan utama penduduk Kapit dan pekan kecil sepanjang Sungai Rejang.

Untuk ke pekan Belaga pula, saya terpaksa menaiki pacuan 4 roda menyusuri jalan yang dibina oleh tentera melalui bukit bukau yang dikelilingi hutan disepanjang perjalanan selama 2 jam.

Pengalaman yang sangat mencabar dan mengajar erti kesabaran dalam menjadi seorang pendidik.

Comments

comments