Destinasi Wajib Sekiranya Ke Tawau: Pasar Tanjung Tawau Sabah

Tawau, syurga makanan laut! Destinasi mesti dikunjungi penggemar sea food.

2719

Pasar Tanjung Tawau memang menarik, meriah, unik, tersendiri. Pasar ini adalah destinasi pelancongan paling utama di tawau. Datang Tawau tak singgah pasar, tak sah!.

Memandangkan Tawau bersempadan dengan Indonesia (Sungai Nyamuk, Nunukan, Tarakan) banyak barangan dari Indonesia diperdagangkan di pasar ini. Periuk, kuali, oven dari yang sebesar-besar saiz hingga yang sekecik-kecik saiz. Dari moyang periuk sampai cicit periuk, semua ada. Loyang bakar kuih, acuan kuih dan macam-macam. Semua ada.

Kuih-muih, makanan-makanan yang dipamerkan di pasar, di pek dengan kemas. Kuih bangkit bugis (bangkek), baulu gula merah, amplang, kerepek pisang sekaki, gajus, belinju, gula merah dan lain-lain.

Amplang ini menjadi snek paling spesel di Tawau sejak tahun 70an. Ia sejenis keropok yang dibuat dari ikan atau udang atau sotong. Amplang telah dinilai tambah penghasilannya dan kini boleh dibeli di serata Sabah. Kota kinabalu pun dah ada. Rasa sensasi yang tersendiri. Anak-anak kecikpun suka!

Minyak kayu putih dan minyak tawon juga dijual di pasar ni. Minyak kayu putih itu amat harum dan segar. Sangat sesuai untuk baby. Baby akan berbau segar. Badan tidak berangin, perut tak kembung. Anak-anakku pun seawal umur sehari dah biasa disapukan minyak kayu putih di tapak tangan, tapak kaki, ubun-ubun, dada, belakang.

Orang Tawau memang taksub juga dengan minyak ini, termasuk saya. Bila baby dah umur 3 tahun, penggunaannya dikurangkan.

Minyak tawon pula bagus untuk orang dewasa. Fungsi seperti minyak gamat tapi bau lebih segar dan menghangatkan badan. Minyak-minyak ini dulu RM2.50 saja. Sekarang dah 6 – 7 ringgit, botol kecik tu.

Kencur, tempe, labu, ubi-ubian, sayuran, semuanya nampak segar. Tempe dijual berbentuk silinder. Tawau ini ramai Jawa dan Bugis. Termasuk juga suku kaum Banjar, Tidong, Bolongan dan lain-lain.

Kopi giling Tawau juga terkenal. Jika anda ke pasar ini pagi-pagi, boleh nampak kopi digiling. Wangi semerbak.

Kelapa parut juga dijual di Pasar Tanjung ini. Dan ada mesin memerah santan sekali. Siap perah santan RM10. Ada juga RM8.

UTC di bahagian atas pasar. Tapi belum sempat jenguk dan berurusan. UTC baru siap tahun ini rasanya. Nampak berubahlah penampilan pasar tanjung tawau bila UTC dah siap. Terang benderang.

Ke pasar ikan, di belakang Pasar Tanjung saja. Pinggir laut. Jalan kaki sikit dari pasar sayur tadi.

Wah! Geram tengok ikan Tawau ni! Segar. Banyak pilihan. Harga pun sangat okay berbanding Kota Kinabalu. Nak banding Kuala Lumpur tak payahlah. Empat kali murah di Pasar Ikan Tawau.

Ikan kembung RM7, ikan senangin sedang RM15, ikan belanak besar RM15, ikan kembung kecik RM3.50. Kebanyakan ikan 6 – 8 ringgit sekilo. Ikan manyong RM3!

Lobster RM150, udang harimau sebesar tapak tangan RM65, udang harimau kecik sikit RM25. Udang kertas sebesar tapak tangan RM25. Udang saiz biasa RM10. Ketam RM7, Kerang RM3 ! Segar-segar.

Di Pasar Tanjung Tawau, naik tangga ke Tingkat satu. Ma sya Allah. Geleng kepala tengok ikan masin yang banyak, pelbagai, cantik-cantik, segar-segar.

Peminat ikan masin pasti meleleh liur menengoknya, harga pula murah-murah! Nak banding dengan harga KL? boleh berdarah hidung dibuatnya.

Ikan bilis bersih. Saiz biasa. Dah buang perut dah buang kepala RM20 – RM23. Ikan bilis mata biru, badan putih bersih hanya RM35, ikan bilis mata biru biasa RM30.

Udang kering cantik dan sangat-sangat besar lagi menawan RM65, udang kering biasa RM20 – RM28, ikan masin kurau yang gagah perkasa dan pandai menggoda RM75, ikan masin talang RM10.

Rezeki orang Tawau. Rezeki siapa-siapa mai Tawau. Boleh beli banyak-banyak. Pek kan kecil-kecil. Bekukan dalam peti ais rumah/hotel. Bila nak flight masuk dalam box polisterin tu.

Comments

comments