7 Sebab Ini Akan Buatkan Anda Jatuh Cinta Pada Sibu, Sarawak!

    7049

    Bandar Sibu adalah bandar ketiga besar di Sarawak, selepas Kuching dan Miri. Buat para sahabat Borneodihati yang meracang melawat Sibu, kami yakin, anda tentunya akan jatuh cinta pada bandar ini kerana bandar Sibu adalah:

    1. Syurga Makanan 

    Sibu sememamgnya terkenal sebagai “syurga makanan”. Di Sibu, anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan lokal yang cukup popular. Antara makanan yang cukup sinonim dengan Sibu adalah mee kampua.

    Mee Kampua (Kredit Foto : Md Nor Halizi Awang)

    Kelazatan mee kampua menjadikannya sebagai makanan harian penduduk di Sibu, sama ada sarapan, makan tengahhari atau makan malam.

    Tidak lengkap kunjungan anda ke Sibu sekiranya tidak mencuba dan merasa sendiri mee kampua Sibu yang boleh didapati dengan mudah di sekitar bandar Sibu.

    Antara makanan lain yang tidak kurang popularnya adalah kompia iaitu sejenis roti. Secara umumnya, terdapat 2 jenis roti kompia yang boleh ditemui di Sibu.

    Kompia Sibu (Kredit Foto : Michael Kong)

    Satu adalah jenis yang lembut, dan satu lagi yang agak keras dan mempunyai binjan diataskan. Roti kompia yang lembut berperisa manis, sebaliknya yang keras itu pula lebih kepada masin.

    Kedua-duanya amat digemari oleh penduduk setempat dan anda boleh mencuba kedua-duanya terlebih dahulu, kemudian baru putuskan lebih menyukai yang mana satu dan beli dan kuantiti yang banyak untuk dipulang sebagai buah tangan.

    Pelbagai jenis kuih, makanan ada dijual di Pasar Malam Sibu

    Selain daripada kompia dan mee kampua, terdapat banyak lagi makanan tempatan yang anda boleh cuba. Ia boleh didapati dengan mudah di Pasar Malam Sibu, yang terletak di sekitar pusat bandar. Pelbagai produk makanan, kuih dan barang keperluan harian ada dijual disitu.

    2. Makanan murah

    Salah satu faktor lain yang turut mendorong orang ramai suka makan kampua adalah harganya yang murah. Di Sibu, anda tidak perlu terlalu risau akan perbelanjaan makan dan minum.

    Bajet dalam RM5 saja anda sudah boleh dapatkan hidangan mee kampua atau makanan lain berserta dengan minuman.

    Daripada banyak-banyak bandar di Sarawak, Sibu adalah antara bandar yang anda boleh lagi dapatkan makanan pada harga yang lebih murah. Jadi, pastikan anda makan sepuasnya sekiranya berkunjung ke Sibu nanti.

    3. Pelbagai jenis buah-buahan tempatan

    Sibu juga terkenal sebagai pusat pengumpulan dan penjualan pelbagai hasil buah-buahan. Setiap kali musim buah-buahan iaitu November, Disember dan Januari, Sibu menjadi tempat tumpuan bagi orang ramai, baik yang mahu menjual atau membeli buah-buahan.

    Buah dabai

    Buah-buahan seperti dabai gred berkualiti daripada Kapit juga akan dihantar dan dijual di Sibu kerana permintaan yang lebih tinggi dan mampu dijual dengan harga yang lebih baik. Selain daripada buah dabai, anda juga boleh merasa sendiri durian pakan (berisi oren atau juga dikenali sebagai durian merah di Sabah), buah kristal, buah engkala dan sebagainya.

    Sekiranya anda merancang melawat Sibu untuk menikmati buah-buahan tempatan, berkunjunglah penghujung tahun.

    4. Tempat menarik

    Sibu juga mempunyai pelbagai tempat menarik bagi dikunjungi. Antaranya adalah seperti Sibu Town Square, Sibu Central Market, Tua Pek Kong Temple, Sibu Heritage Centre, Rejang Esplanade, Wong Nai Siong Memorial Park, Rosli Dhoby Memorial dan sebagainya.

    5. Pelbagai acara tahunan 

    Berlatarbelakangan penduduk multietnik, bandar Sibu sentiasa meriah sepanjang tahun dengan pelbagai jenis sambutan, perayaan, pesta dan aktiviti keramaian.

    Antara acara-acara tahunan yang kerap diadakan di Sibu adalah seperti Sibu Tower Run, Borneo International Remote Control Power Boat Tournament, Sibu Street Art Festival , Borneo Cultural Festival, Sibu Base Jump dan sebagainya.

    6.  Pengalaman yang unik 

    Kunjungan anda ke Sibu juga anda memberikan anda pelbagai pengalaman unik. Umpamanya di Pasar Malam Sibu, anda akan menemukan bahawa para penjual sama ada mereka yang muslim atau bukan muslim akan berjual di tapak pasar malam yang sana.

    Mereka cuma dipisahkan antara satu penghujung dengan penghujung tapak jualan yang lain bagi memberi keselesaan dan menghormati serta mengambil kira sensitiviti sahabat-sahabat muslim.

    Pasar Malam Sibu (Kredit Foto : At’to)

    Suasana sebegini sebenarnya agak sukar dilihat ditempat lain. Namun, di Sarawak, ia bukanlah sesuatu yang asing bagi penduduknya. Dari sudut ini, anda boleh melihat dan menilai sendiri serta menimba pengalaman baru, betapa tinggi tahap toleransi komuniti di Sarawak dan betapa mereka boleh saling bergaul sesama mereka dan pada masa yang sama tetap saling menghormati.

    Selain itu, anda boleh menerokai Sibu Central Market yang menempatkan lebih 1000 penjual dan dikatakan sebagai market yang terbesar di Malaysia.

    Di market ini juga, anda akan terpegun apabila terjumpa susunan ayam hidup yang dibalut rapi dengan surat khabar untuk dijual kepada orang ramai.

    Ayam hidup yang siap dibalut dengan surat khabar (Kredit Foto : Igat Dom Francis)

    Selalunya di pasar-pasar yang dikunjugi, ayam hidup diletakkan dalam sangkar, tapi di Sibu anda akan melihat kelainan – ayam hidup dibalut dengan surat khabar, unik bukan?. Menurut para penjual disana, ayam hidup ini dibungkus sedemikian rupa kerana ingin menjaga kebersihan pasar, mengelak najis ayam daripada bertaburan di lantai. Selain itu, ia juga bertujuan memudahkan urusan jual beli, dimana pembeli mudah mahu membawa pulang ayam hidup itu.

    Bukan itu saja, kunjungan ke Sibu juga akan menawarkan peluang kepada anda untuk meninjau dan melihat sendiri sungai terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Rajang.

    Nikmati waktu senja di tebing sungai Rajang (Kredit Foto : Aki Anis)

    Sekiranya sebelum ini anda hanya mendapat tahu tentang Sungai Rajang menerusi buku teks, maka, dengan kunjungan ke Sibu, anda akan dapat melihat sendiri sungai Rejang – sungai terpanjang di Malaysia.

    7. Makanan tradisi dan eksotik 

    Anda juga boleh mencuba pelbagai makanan tradisi dan makanan eksotik di Sibu. Makanan tradisi seperti Umai, pansuh, terung asam dan sebagainya adalah menu yang patut anda cuba sekiranya berkunjung ke Sarawak, terutamanya Sibu.

    Ulat sagu @ ulat mulong (Kredit Foto : Mark Jinmin)

    Sekiranya anda mahu mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain, cubalah makan ulat sagu. Ia cukup kaya dengan protein dan selalunya akan digoreng dahulu sebelum dijamu.

    Comments

    comments