Anak Muda Dari Kelantan Ini Kongsikan Perjalanan Sambung Belajar di UMS & Dapat Keluarga Angkat di Sandakan Sabah

3854

Semasa berada di bangku persekolahan, cita-citaku ingin melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dengan menaiki kapal terbang. Aku tidak kisah dimana tempatnya asalkan aku dapat menaiki kapal terbang.

Aku nekad untuk memilih Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai destinasi pengajianku yang utama dengan harapan dapat menaiki pesawat.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan tidak berkesempatan untuk menaiki kapal terbang disebabkan kos yang besar.

Dengan memilih UMS sebagai pilihan hati sudah menjadi satu kelebihan buat aku untuk mencuba menaiki kapal terbang. Alangkah bertuahnya kerana daripada 11 orang adik beradik, aku pertama sekali dapat menaikinya. Ini sudah menjadi kebanggaan buat diriku. Didalam hati ini hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya hati aku.

Selepas selesai penempahan tiket penerbangan, aku dihantar oleh abangku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Sesampai sahaja aku di lapangan terbang, aku sangat teruja melihat persekitaran yang dipenuhi oleh ribuan orang. Dalam keterujaan tersebut, Aku di uji oleh Allah, aku terlepas penerbangan.

Oleh kerana tidak ada pengalaman menaiki kapal terbang menyebabkan aku terlepas penerbangan yang penting.

Aku fikirkan perkhidmatan kapal terbang sama seperti bas, rupanya tidak. Maklumlah pertama kali untuk menaikinya.

Pada waktu itu aku tidak tahu arah tuju. Aku tidak maklumkan berita ini kepada keluarga kerana aku takut mereka bimbang akan diriku (maafkan adik abah dan umi) aku sanggup berbohong dengan mengatakan aku sudah sampai di Sabah sedangkan aku masih berada di KLIA 2 dan terpaksa membeli tiket yang baru.

Aku tidak berniat ingin membohongi mereka tetapi aku tidak sampai hati ingin menyatakan perkara yang sebenar kerana takut mereka susah hati. (Berdosakah aku?) Dalam hatiku berkata “biarkanlah dahulu”.

Selepas menuju ke kaunter tiket, aku terpaksa membeli tiket yang baharu yang berharga RM 450.00, dua kali ganda harga tiket yang sebelum ini.

Aku bernasib baik kerana memiliki wang hasil daripada sumbangan penduduk kampung. Hasil sumbangan hampir RM 2000 ini sangat berguna buatku. Aku sangat bersyukur kepada Allah kerana memberikan aku masyarakat yang sangat prihatin yang sanggup menghulurkan bantuan kepadaku. Jasa mereka tidak dilupakan dalam hayatku.

Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu 2 (KKIA 2), aku disambut oleh Kakak dan Abang Pembimbing Suai Mesra (PSM) UMS. Walaupun aku tidak mempunyai keluarga dan kenalan di Sabah, mereka telah menyambutku seperti adik baharu UMS.

Aku sangat berterima kasih kepada mereka kerana menyediakan perkhidmatan kepadaku di kala aku asing di negeri orang.

Oleh kerana peristiwa ini, aku nekad ingin menggantikan tempat mereka suatu hari nanti sebagai PSM untuk menyambut orang sepertiku. Mungkin ini salah satu cara untuk aku membalas jasa abang dan kakak PSM buat diriku.

Hari pertamaku dalam minggu orientasi universiti. Alangkah bertuahnya diriku kerana dapat merasai suasana berada dalam sebuah dewan kebanggaaan universiti iaitu Dewan CANSELOR bersama ribuan pelajar lain.

Memasuki hari kedua Minggu Suai Mesra, aku diuji lagi oleh Allah, telefon bimbit ASUS yang baharu ku beli sebelum datang ke Sabah diambil orang. Bersama telefon aku simpankan sekali kad pengenalan dan kad ATM lesap begitu sahaja. Bukan sahaja aku yang menjadi mangsa, malah rakan sebilikku juga mengalami nasib yang sama.

Aku yakin ini ujian yang ada hikmahnya. Oleh kerana peristiwa ini, Allah ingin mempertemukan aku dengan keluarga baharu di Sabah. Kebetulan aku mempunyai dua telefon (Samsung lipat Kuno). Telefon ini menjadi penghubung rakan sebilikku dengan keluarganya di Sandakan.

Oleh kerana itu, aku mendapat keluarga angkat yang merupakan keluarga rakan sebilikku itu. Aku amat bersyukur kepada Allah, walaupun aku tidak mempunyai saudara di Sabah, kini aku telah dikurniakan keluarga angkat selepas kehilangan telefon.

Aku sering berkunjung ke rumahnya di Sandakan dan diajar makan makanan tradisonal Sabah iaitu Buras, Borobok dan lain-lain. Aku belajar kehidupan masyarakat Sabah bersama mereka.

Rumah mereka menjadi rumah keduaku untuk menumpang kasih ketika Hari Raya Eidul Adha. Aku tidak dapat pulang ke rumahku di Kelantan kerana kekangan kewangan. Walaubagaimapun, aku sangat bersyukur atas peluang yang diberikan ini.

Aku dilayan seperti anak mereka sendiri. Terima kasih “The Buras Group” Lamran bin Tumpong.

Comments

comments