Sambil aku duduk memerhatikan gelagat mereka makan, tidak terasa menitis air mata.
“Cikgu, sedapnya. Masak lagi macam ini cikgu” kata salah seorang pelajar.
Tiga minggu sudah diri aku ini bertugas sebagai guru. Pelbagai pengalaman yang sedikit demi sedikit aku lihat sendiri.
Aku percaya ada di antara mereka tidak bersarapan sebelum ke sekolah. Di rumah, ada pelajar yang dapat kasih sayang sempurna tapi tidak semua orang akan merasa perkara yang sama.
Di kawasan pedalaman, sekolah inilah tempat mereka ingin mendapatkan yang secukupnya.
Aku tabik dengan semangat mereka. Tatkala ada anak-anak di bandar bersenang-lenang ke sekolah, aku melihat semangat mereka yang berada di pedalaman ini jauh lebih tinggi.
Kadangkala ada yang hanya datang dengan selipar, ada yang berpanas dan berhujan.
Ada yang menggunakan seluar pendek dan seringkali aku sebak tapi aku tahan.
Tiada istilah penat, mahupun bosan ke sekolah. Bahkan mereka mahu datang ke kelas petang untuk belajar lebih lagi.
Aku merasakan tanggungjawab yang aku pikul itulah yang meneruskan semangat aku dan aku lebih bersabar melihat karenah mereka.
Moga Tuhan merahmati mereka.