Sabah adalah negeri pertama di dalam Malaysia mempunyai titik tengah sebagai tanda aras yang dipilih oleh Institusi Juruukur Malaysia (ISM).
Idea pencarian titik tengah negeri Sabah ini bermula pada tahun 2006. Tetapi selepas 3 tahun baharulah projek ini bermula dengan kerjasama antara Institusi Juruukur Malaysia (ISM), Juruukur dan Pemetaan Sabah, Juruukur Bahan Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.
Penandaan titik tengah negeri Sabah ini ditentukan dengan mengambil 18,600 Point persisiran pantai negeri Sabah termasuk sempadan dan dimana unjuran pengiraan telah dibuat kearah tengah-tengah negeri ini.
Dalam erti kata lain, titik ini akan menjadi “pusat graviti” Sabah. Kerja-kerja untuk menentukan lokasi “Center of Sabah” adalah jauh lebih rumit dan memerlukan bertahun-tahun untuk menjejaki lokasi sebenarnya.
Terletak 280 kilometer dari bandaraya Kota Kinabalu, lebih dikenali sebagai Bukit RISM, ia tergolong sebagai hutan simpan perlindungan kelas 1 Gunung Tinkar yang berkeluasan 10,150.00 hektar.
Lokasi “Titik Tengah Negeri Sabah” ini betul-betul berada di atas salah satu puncak bukit di dalam banjaran Gunung Tinkar. Suatu ketika dahulu, saya pernah mengikuti jalan cerita projek ini yang mengatakan titik tengah sebenar negeri Sabah adalah jauh 200meter kedalam hutan.
Tetapi lokasinya dipindahkan ke atas sebuah puncak bukit yang berdekatan untuk memudahkan kerja-kerja cerapan GPS (Global Positioning System).
Sebuah monumen konkrit atau titik Trigonometri bernombor M500 dibina di sini menggunakan material bangunan dianggarkan seberat 4 tan yang dibawa ke puncak bukit ini menggunakan helikopter, sekaligus monumen tersebut mengesahkan ia adalah titik tengah Negeri Sabah.
Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) menganjurkan pasukan ekspedisi 54 orang ahli yang terdiri daripada ahli Juruukur & Pemetaan Malaysia, Jabatan Ukur Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah dan media untuk majlis pelancarannya pada 31 September 2011 yang lalu.
Tempat menarik ini masih baru dan tidak benar-benar diketahui kebanyakan rakyat Sabah . Kami dari Bukit Ke Bukit Hiking Squad merasa amat teruja dapat berdiri di tengah-tengah negeri Sabah.
Bukan senang untuk mendapat pengalaman sebegini, lebih-lebih lagi sebelum kedatangan kami kesini, kami menempuh pelbagai rintangan. Kami amat bertuah bila Forest Guide menyatakan kumpulan kami adalah kumpulan pendaki pertama badan bukan kerajaan atau organisasi.
Dimaklumkan, sebelum ketibaan kumpulan kami, pendakian ke tempat ini hanya dilakukan oleh jabatan-jabatan kerajaan sahaja . Ini adalah satu kesempatan buat penggemar sukan lasak hiking untuk mencuba tempat yang kami rasa cukup menarik.
Nantikan artikel berikutnya bagi mendapatkan 5 perkara yang anda perlu lakukan sebelum bertolak menjejaki tempat ini.